Pendengaran tangguh penjara pengurus pilihan raya ditangguh
Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini semalam menangguhkan pendengaran permohonan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agus Suyub, bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara tiga bulan yang dikenakan terhadapnya.
Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, yang mempengerusikan panel tiga hakim, berkata beliau sangsi bahawa Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu berikutan kes berkenaan berasal daripada Mahkamah Pilihan Raya.
Beliau memutuskan bahawa pihaknya akan mendengar permohonan itu jika Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian.
Turut bersidang adalah Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Persetujuan bersama
Atas persetujuan bersama, semua bersetuju untuk menangguhkan pendengaran permohonan itu sehingga Amino dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan.
Rabu lalu, Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Azimah Omar, mendapati Amino Agos bersalah bagi perbuatan mengajar seorang saksi untuk memberi keterangan dalam petisyen pilihan raya dikemukakan calon Pakatan Harapan, Dr S Streram dan menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan.
Dr Streram mencabar keputusan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan yang diisytiharkan sebagai pemenang.
Dr Streram mendakwa beliau dihalang daripada mengemukakan borang pencalonannya di pusat penamaan calon pada 28 April lalu.