Berita Harian

ANAK, ISTERI

Jadikan Ammar insan bertanggun­gjawab

- Oleh Muhamad Fairoz Azizan muhamadfai­roz@bh.com.my

Kehadiran Airis Aisyah yang kini berusia sembilan bulan, memberi kekuatan kepada Ammar untuk kembali bangkit membina kerjaya dalam dunia penyiaran. Penyampai radio Hot FM itu berkata, episod kontrovers­i yang pernah dilalui turut mematangka­nnya, sekali gus berubah ke arah lebih positif.

“Kehadiran Airis membuka mata saya supaya terus memandang ke hadapan. Setiap kali menatap wajah anak dan isteri, saya bagaikan mendapat semangat baharu. Mereka menjadi pendorong utama saya untuk terus melipatgan­dakan usaha.

“Isteri dan anak adalah insan paling penting dalam hidup saya, malah mereka banyak mengubah saya supaya menjadi lelaki yang bertanggun­g jawab. Disebabkan itu, apabila keluar bekerja, saya akan curi masa untuk pulang ke rumah menghantar makanan kepada isteri.

“Saya terharu dengan pengorbana­n isteri yang sanggup melupakan cita-citanya demi memberikan perhatian kepada rumah tangga kami. Kasihan saya melihatnya bersendiri­an menguruska­n anak ketika saya keluar bekerja,“katanya.

Ammar, 31, juga bersyukur dirinya dikeliling­i sekelompok kecil rakan yang menjadi nadi kekuatanny­a untuk terus mengharung­i cabaran. Kepercayaa­n yang diberikan, kata Ammar yang turut dikenali sebagai pengacara, membuatkan dia semakin fokus merencana perjalanan kerjayanya.

“Ketua Pegawai Eksekutif, Media Prima Radio Networks, Seelan Paul adalah antara individu yang sering memberikan kata semangat. Dorongan mereka meyakinkan diri, saya tidak bersendiri­an ketika mengharung­i saat getir.

“Masih banyak lagi yang perlu saya gali untuk membawa bakat ke tahap yang membanggak­an. Saya sedar, tidak selamanya saya akan kekal di sini. Justeru, saya perlu merangka perancanga­n masa depan untuk memastikan nama saya terus bertahan,” katanya.

Tak kisah watak pembantu

Turut membina nama sebagai pelakon, Ammar berkata, dia sentiasa mencari ruang untuk mengasah kemampuan dalam bidang yang dicintainy­a itu. Baginya, ketika ramai pelakon muda berebut mencari peluang untuk membawa watak utama, dia tidak kisah menjayakan watak pembantu.

Menjadikan pelakon Azhan Rani dan Noorkhiria­h sebagai rujukan, Ammar berkata, impak yang ditinggalk­an pasangan itu ketika membintang­i drama bersiri, Nur yang mencetus fenomena pada Ramadan lalu membuatkan dia ingin mencontohi mereka

“Memang dari dulu, saya tidak pernah terfikir atau menyimpan angan untuk menjadi hero. Saya selalu percaya watak pembantu juga mampu memberi kekuatan kepada sesebuah produksi. Realitinya, pelakon yang menjayakan watak utama bersilih ganti datang, berbanding pelakon pembantu.

“Apa yang penting, lakonan saya meninggalk­an kesan kepada penonton. Saya masih ingat luahan pelakon senior, Eman Manan yang menyesal kerana mengambil watak hero sejak mula berlakon. Dia kesal kerana tawaran itu menyukarka­n dia sisi lain dalam lakonan,” katanya.

Mahu jadi pensyarah

Di sebalik keselesaan yang dikecapiny­a, Ammar yang juga lulusan ijazah Seni Lakon dan Pengarahan dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang itu berkata, dia menyimpan impian untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana bagi merealisas­ikan cita-citanya menjadi tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi.

“Ketika dilanda kontrovers­i sedikit masa lalu, saya pernah terfikir, jika sudah tertulis bukan rezeki dalam bidang ini, mungkin saya akan sambung pengajian ke peringkat sarjana. Sasaran saya dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan datang, saya mula mengajar.

“Dengan pengalaman yang ada, sedikit sebanyak dapat membantu meneroka bidang lain” katanya.

Ammar yang pernah berganding­an bersama Issey membentuk Titan ketika menyertai program, Bintang Mencari Bintang mengakui, persahabat­an mereka tetap erat meskipun rakannya itu sudah memulakan langkah baharu di stesen lain.

“Saya tidak ada masalah dengan Issey dan kami masih berkawan baik. Rezeki masing-masing sudah tertulis dan saya bangga dengan kelebihann­ya. Peralihan tempat kerja tidak sesekali membuatkan kami renggang. Cuma, kami jarang berjumpa kerana masa terbatas,” katanya.

Kehadiran Airis membuka mata saya supaya terus memandang ke hadapan. Setiap kali menatap wajah anak dan isteri, saya bagaikan mendapat semangat baharu. Mereka menjadi pendorong utama saya untuk terus melipatgan­dakan usaha”

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ?? Ammar hargai pengorbana­n isteri.
Ammar hargai pengorbana­n isteri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia