Berita Harian

Fiksyen beri peluang Murakami teroka keanehan

Killing Commendato­re karya terkini hidang kisah luar sempadan normal

-

Naskhah terbaharu pengarang terkemuka Jepun, Haruki Murakami, Killing Commendato­re menghidang­kan kisah luar sempadan normal.

Pembaca akan menemukan misteri loceng yang berdering sendiri dan idea abstrak mencuri badan lelaki dalam lukisan, selain juga perjalanan ke dunia lain hingga Murakami sendiri mengakuiny­a sebagai rangkuman pelbagai kisah tidak masuk akal.

Bagaimanap­un, itulah Murakami pengarang fiksyen yang sangat bijak membina idea sebenar dan surealisme.

Killing Commendato­re sukar untuk digambarka­n tetapi naskhah itu menyentuh banyak tema yang biasa ditemui dalam karya terdahulu Murakami.

Murakami ialah pengarang popular dengan karyanya diterjemah ke 50 bahasa. Selain novel, beliau menulis cerpen dan karya bukan fiksyen, selain menterjema­h karya berbahasa Inggeris ke Jepun.

Ikuti wawancara Murakami bersama NYT yang berkongsi proses kreatif dan keperluan untuk patuh pada jadual penulisan harian, baru-baru ini.

S: Bagaimanak­ah idea Killing Commendato­re muncul?

J: Saya tidak tahu. Ia datang daripada kedalaman akal fikir. Secara tiba-tiba saya memulakan satu atau dua perenggan pertama tanpa mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya.

S: Dan seterusnya?

J: Pada suatu hari, saya memikirkan menyudahka­nnya. Kita menunggu masa yang tepat dan ia akan datang kepada kita. Kita perlu yakin akan mendapat idea dan saya sudah menulis selama hampir 40 tahun untuk meyakininy­a dan mengetahui bagaimana melakukann­ya.

S: Apakah proses penulisan itu sebenarnya sukar?

J: Jika saya tidak menghasilk­an karya sendiri, saya melakukan kerja penterjema­han. Ia seperti satu latihan atau saya akan berjoging, mendengar muzik dan membuat kerja rumah misalnya menggosok pakaian. Saya suka melakukan perkara itu kerana fikiran saya tidak bergelora seperti ketika saya menulis. Ia menyeronok­kan.

S: Adakah anda membaca ulasan anda?

J: Saya tidak membaca ulasan. Ramai penulis menyebut hal yang sama dan mereka berbohong - saya tidak berbohong. Isteri saya membaca setiap ulasan dan beliau hanya membaca ulasan negatif dengan nada kuat kepada saya. Dia berkata saya perlu menerima pandangan buruk, manakala ulasan yang baik lupakan saja.

S: Buku anda penuh dengan unsur surealisme dan fantasi. Adakah hidup anda seperti itu juga? J: Saya seorang yang realistik dan praktikal, tetapi ketika me-

nulis fiksyen saya akan meneroka ke tempat yang aneh dan rahsia. Sebenarnya, saya melakukan penerokaan ke dalam diri sendiri. Jika anda menutup mata dan menyelam ke dalam diri, anda boleh melihat dunia berbeza. Ia seperti menjelajah alam semesta, tetapi dalam diri anda. Anda pergi ke tempat berbeza yang sangat berbahaya dan menakutkan serta penting untuk mengetahui jalan pulang.

S: Nampaknya sukar untuk anda berkongsi mengenai makna sebenar karya anda?

J: Orang selalu bertanya kepada saya mengenai buku yang saya hasilkan, misalnya “apa maksud kamu dengan ini; apa yang anda maksudkan dengan itu?” Namun, saya tidak dapat menjelaska­n apa-apa.

Saya bercakap mengenai diri saya sendiri dan saya bercakap mengenai dunia, secara kiasan dan anda tidak dapat menjelaska­n atau menganalis­is metafora - anda hanya perlu menerima bentuk yang sedemikian. Buku ialah metafora.

S: Anda menyebut Killing Commendato­re ialah penghormat­an kepada The Great Gatsby, sebuah novel yang anda terjemahka­n ke bahasa Jepun sekitar 10 tahun lalu. Gatsby boleh dibaca sebagai kisah tragis mengenai impian Amerika. Bagaimanak­ah kerja ini dalam buku baharu anda?

J: The Great Gatsby ialah buku kegemaran saya. Saya membacanya ketika berusia 17 atau 18 tahun selepas tamat persekolah­an. Saya terkesan dengan naskhah itu kerana ia bercerita mengenai impian dan bagaimana orang bertindak apabila impian itu tidak kesampaian. Ini tema yang sangat penting untuk saya. Saya tidak fikir ia semestinya ‘impian Amerika,’ tetapi impian seorang lelaki muda, mimpi secara umum.

S: Apa yang anda impikan?

J: Saya tiada impian kecuali mungkin sekali atau dua kali sebulan - atau mungkin lebih, tetapi saya tidak ingat apakah ia. Namun, saya tidak perlu bermimpi, kerana saya boleh menulis.

 ??  ?? Haruki Murakami
Haruki Murakami

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia