2 sijil latihan ditawar untuk pentadbir, guru tahfiz
Kuala Lumpur: Siri latihan menyeluruh untuk melahirkan pentadbir dan guru tahfiz al-quran berpengetahuan dan berkemahiran tinggi akan diadakan oleh Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-quran Kebangsaan (PINTA) untuk memperkasa institusi itu di negara ini.
Setiausaha Agungnya, Mohd Edrus Ab Rahman, berkata inisiatif itu bermatlamat menyediakan input bukan saja dalam konteks pengurusan tahfiz, bahkan mendedahkan warganya kepada sistem pendidikan, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang mantap untuk diaplikasikan di institusi tahfiz.
Mohd Edrus berkata, pihaknya bekerjasama dengan Pusat Ulul Albab, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dijangka bermula awal November ini.
“Kami baru saja menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Pusat Ulul Albab untuk menjalankan siri latihan.
“Terdapat dua kategori sijil ditawarkan, iaitu pengurusan tahfiz al-quran khusus untuk mereka yang terbabit secara langsung dalam pengurusan tahfiz seperti mudir, warden dan kerani.
“Sementara itu, satu lagi sijil ialah asas pengajaran dan pembelajaran tahfiz al-quran, membabitkan golongan tenaga pengajar, iaitu ustaz dan ustazah yang mengajar di pusat tahfiz,” katanya kepada BH di sini, baru-baru ini.
Mohd Edrus berkata, bagi setiap kategori program, disasarkan seramai 40 peserta dan terbuka kepada warga tahfiz di seluruh negara.
Alu-alukan tajaan program
Katanya, modul sijil pengurusan tahfiz al-quran merangkumi bukan sahaja pentadbiran institusi, bahkan menjelaskan secara holistik prospek pendidikan tahfiz di negara ini yang membabitkan kokurikulum, khidmat masyarakat, kewangan dan isu kontemporari.
“Bagi sijil asas pengajaran dan pembelajaran tahfiz al-quran, ia memfokuskan kaedah hafazan, psikologi pelajar, pengurusan dalam bilik darjah, amali pengajaran serta pembelajaran, selain teknologi juga inovasi dalam pendidikan tahfiz,” katanya.
Beliau berkata, PINTA turut mengalu-alukan sumbangan atau tajaan kewangan bagi menjayakan program ini.