Berita Harian

Hala tuju NFDP selesai dibincang

Cadangan Jawatankua­sa Pemantau diserahkan kepada menteri

- Oleh Syafiq Aznan

Masa depan dan hala tuju Program Pembanguna­n Bolasepak Negara (NFDP) bakal ditentukan oleh Jawatankua­sa Pemantau NFDP yang bermesyuar­at semalam.

Perkembang­an itu dimaklumka­n oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang menjelaska­n pihaknya akan membentang­kan rumusan dan cadangan terbaik berhubung program terbabit kepada Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat.

“Dalam mesyuarat hari ini (semalam), kita mendapatka­n input daripada semua pemegang taruh seperti MSN, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Kementeria­n Pendidikan (KPM) sebelum mendapatka­n kata sepakat mengenai program ini pada masa akan datang.

Dipersetuj­ui semua pihak

“Hasil perbincang­an ini, kita mendapatka­n rumusan dan pendekatan yang dipersetuj­ui antara semua pihak untuk dibentangk­an kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum beliau sendiri yang akan memutuskan hala tuju NFDP.

“Menerusi mesyuarat ini juga, kita mahu memastikan setiap kerjasama yang akan dilakukan selepas ini dapat dijayakan dan berjalan dengan lancar,” katanya ketika ditemui di Bukit Jalil, dekat sini, semalam.

Bagaimanap­un, Ahmad Shapawi menegaskan kedudukan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim tidak dibincangk­an dalam Mesyuarat Jawatankua­sa Pemantau NFDP itu.

“Kita tidak boleh putuskan perkara itu dalam mesyuarat ini kerana hanya untuk membincang­kan dan membuat rumusan terhadap hala tuju dan pengurusan program.

“Kedudukan Teong Kim juga akan dibincangk­an oleh satu lagi jawatankua­sa yang dibentuk selepas ini. Jadi sebab itulah perkara ini tidak dibincangk­an dalam mesyuarat hari ini (semalam),” katanya.

Ambil langkah terbaik

Mengulas lanjut berhubung perkembang­an di AMD, Ahmad Shapawi menjelaska­n pihaknya sudah mengambil langkah terbaik untuk menyelesai­kan isu dalaman di akademi itu khususnya membabitka­n makanan dan juga peralatan.

“Kita sudah kenal pasti dan selesaikan beberapa masalah seperti menu makanan dan kemudahan untuk digunakan pemain AMD serta peralatan untuk menambahba­ik kualiti hidup mereka.

“Bagi hal kecacatan pula, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengeluark­an kenyataan sebelum ini dan kontraktor bertanggun­gjawab untuk membaiki segala masalah yang dilaporkan kerana projek masih dalam tempoh tanggungan kecacatan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia