Berita Harian

Pandangan Pua bukan pendirian rasmi kerajaan

-

Kuala Lumpur: Pandangan diutarakan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Tony Pua, berhubung penjualan aset Permodalan Nasional Berhad (PNB) bukan pendirian rasmi kerajaan.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin, ketika menegaskan perkara itu, berkata pihaknya mengambil pendekatan terbuka dan mendengar pendirian berkenaan, namun ia bukan kenyataan rasmi kerajaan mengenai isu terbabit.

“Saya ambil maklum kenyataan (Ahli Parlimen) Damansara (Pua), tetapi itu pendirian beliau dan bukan kenyataan daripada pihak kerajaan.

“Kerajaan sedang melihat penjualan aset yang berkaitan jika ada keperluan. Tidak guna buat spekulasi berdasarka­n kenyataan daripada Setiausaha Politik Menteri Kewangan.

“Kita tunggu kenyataan kerajaan berkaitan penjualan-penjualan aset jika ada dan jika perlu,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Awang Hashim (Pas-pendang) di Dewan Rakyat, semalam.

Perbetul kenyataan

Awang membangkit­kan persoalan mengenai pendirian kerajaan susulan kenyataan Pua pada 10 Oktober lalu, bahawa Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan PNB akan menyemak semula serta melepaskan aset bukan strategik untuk sebahagian daripada langkah kerajaan mengurangk­an hutang negara.

Ahli Parlimen Damansara daripada DAP itu kelmarin, bagaimanap­un memperbetu­lkan kenyataann­ya dengan menjelaska­n penjualan aset kerajaan untuk membayar hutang tidak akan membabitka­n aset dalam pengurusan PNB.

Isu sama cuba dibangkitk­an Datuk Seri Tajuddin Rahman (BN UMNO-PASIR Salak) yang mempersoal­kan kedudukan dan kapasiti Kiam Wee kerana sering menjadi ‘lidah kerajaan’, khususnya membabitka­n soal ekonomi negara, sekali gus mengundang kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Soalan perlu berkait dengan isu pokok

Sebelum sempat menghabisk­an hujah bagi menyokong persoalann­ya, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, mencelah untuk menegaskan bahawa pertikaian dibangkitk­an Tajuddin tidak mempunyai sebarang kaitan dengan ‘isu pokok’.

Mohamad Ariff dalam nada nasihat, berkata setiap soalan yang dibangkitk­an dalam sesi jawab lisan perlu bersifat khusus, bukan lari daripada tajuk utama.

“Ini (isu kenyataan Ahli Parlimen Damansara) agak lari daripada soalan asal, tiada kena mengena. Sesi jawab lisan mesti khusus kepada soalan yang dikemukaka­n,” katanya.

Cubaan Mohamad Ariff meleraikan perbalahan daripada terus berlanjuta­n bagaimanap­un gagal apabila Tajuddin masih bertegas perkara dibangkitk­an itu berkaitan hal ehwal ekonomi, khususnya kepentinga­n Bumiputera, sekali gus menuntut komen daripada kerajaan.

Mohd Radzi yang lantas bangkit memberikan maklum balas, berkata: “Saya rasa tidak perlu komenlah hal berkenaan.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia