Berita Harian

Denda hingga RM100,000 jika gagal baiki jalan

Pindaan akta dapat sokongan sebulat suara

- Oleh Luqman Arif Abdul Karim

Kontraktor yang didapati gagal membaiki dengan sempurna sebarang kerja pengorekan jalan awam, bakal berdepan hukuman denda hingga RM100,000.

Peningkata­n denda 100 kali ganda menerusi pembentang­an Rang Undang-undang (RUU) bagi meminda Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 itu diluluskan, selepas dibahas 18 ahli Parlimen dan dibacakan kali ketiga di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff, serta mendapat sokongan sebulat suara.

Pindaan lain turut mencakupi peningkata­n denda minimum daripada RM500 kepada RM50,000, bagi kesalahan mengambil tempat turap tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau agensi penguat kuasa yang sah di sisi undang-undang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata usaha memperkuku­hkan akta itu mendapat sokongan kerajaan negeri, sama ada ditadbir pembangkan­g atau kerajaan yang bersetuju mengangkat pindaan berkenaan, seiring usaha memartabat kualiti jalan.

“Peruntukan kos bagi melaksanak­an kajian geoteknika­l dan siasatan berkala, seperti diperuntuk­kan dalam pindaan akta ini pula akan ditanggung pemaju, bukan PBT seperti dibimbangi segelintir pihak.

“Pegawai yang akan mengendali­kan kajian dan siasatan berkala bukan daripada PBT, sebaliknya perlu dilakukan pemaju serta disahkan jurutera bertauliah serta bebas,” katanya ketika menggulung pembentang­an RUU itu di Dewan Rakyat, semalam.

Denda RM1,000 rendah

Terdahulu, Zuraida ketika membentang­kan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua berkata, cadangan menaikkan kadar denda dibuat selepas mendapati denda sedia ada sebanyak RM1,000 dilihat tidak berkesan sebagai langkah pencegahan.

“Banyak aduan berkenaan korekan, kerosakan dan kualiti pembaikan jalan, antaranya berpunca daripada kerja penyelengg­araan jalan oleh individu atau syarikat utiliti tanpa kelulusan PBT,” katanya.

Selain jalan awam, Zuraida berkata, denda itu akan terpakai bagi kesalahan merosakkan siar kaki, harta kepunyaan PBT, kaki lima atau di sepanjang laluan orang awam.

Katanya, pindaan terhadap Seksyen 39 akta berkenaan membabitka­n cadangan menaikkan denda minimum RM500 sedia ada kepada RM50,000, bagi kesalahan mengambil tempat turap tanpa kebenaran bertulis daripada PBT atau kuasa lain yang sah di sisi undang-undang.

“Pindaan itu mencadangk­an supaya kuasa diberi kepada PBT untuk mengarahka­n seseorang membetulka­n semula apa-apa perubahan terhadap kerja penurapan dan tapak jalan awam, termasuk pagar dan tiang, selain melaksanak­an pembaikan bagi kerosakan yang dilakukan pada mana-mana jalan, siar kaki atau jalan kaki lima.

“Jika orang itu tidak berbuat demikian, PBT sendiri boleh mengarahka­n supaya kerja itu dilakukan dan menuntut kos dan belanjanya daripada orang berkenaan,” katanya.

Zuraida berkata, pindaan juga akan menjadikan satu keperluan kepada mana-mana individu untuk mengemukak­an laporan geoteknika­l yang ditentu sah oleh pemeriksa bertauliah, bagi apaapa binaan bangunan membabitka­n lereng dengan tahap kecerunan 25 darjah dan ketinggian 10 meter.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia