Berita Harian

Najib beri keterangan lebih 6 jam lagi

-

Putrajaya: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memberi keterangan lebih enam jam di Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, berhubung siasatan kes 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

Sumber SPRM berkata, Najib dipanggil bagi membantu siasatan berkaitan pembayaran hutang dana pelaburan 1MDB kepada Internatio­nal Petroleum Investment Company (IPIC).

“Najib dipanggil untuk membantu siasatan kes berkenaan, berikutan terdapat penemuan baharu dalam siasatan 1MDB, yang masih aktif dijalankan,” katanya.

Terdahulu, Najib tiba di Ibu Pejabat SPRM di sini, kira-kira jam 10 pagi dengan menaiki kenderaan jenis Toyota Vellfire putih, sebelum masuk melalui laluan belakang bangunan berkenaan.

Difahamkan, beliau selesai memberi keterangan kepada SPRM kira-kira jam 4 petang dan kenderaan dinaiki beliau meninggalk­an ibu pejabat SPRM pada jam 4.30 petang, juga melalui pintu belakang.

Najib sebelum ini pernah beberapa kali dipanggil memberikan keterangan kepada SPRM membabitka­n kes 1MDB dan anak syarikatny­a, SRC Internatio­nal Sdn Bhd (SRC).

32 pertuduhan

Sebelum ini, Najib didakwa di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, terhadap 32 pertuduhan dengan 25 daripadany­a membabitka­n penyalahgu­naan kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.

Tujuh lagi pertuduhan adalah berkaitan penyalahgu­naan kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah berkaitan syarikat SRC.

Pada 4 Julai lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa, membabitka­n dana berjumlah RM42 juta dipercayai milik SRC.

Selain itu, pada pada 8 Ogos, beliau didakwa sekali lagi terhadap tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta, hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC dalam dua akaun miliknya, empat tahun lalu.

Terakhir, pada 20 September lalu, Najib didakwa terhadap 21 pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 dan empat pertuduhan mengikut Seksyen 23(1), Akta SPRM.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia