Berita Harian

Politik kotor jejas keyakinan rakyat

-

Shah Alam: Politik wang yang didakwa berleluasa dalam pemilihan PKR ketika ini, perlu dihentikan sebelum menjadi barah yang merosakkan parti.

Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, yang tewas dalam saingan merebut jawatan Ketua Cabang PKR Kapar, mendakwa politik kotor untuk memenangka­n puak tertentu dalam pemilihan boleh menjejaska­n keyakinan rakyat yang memberi kepercayaa­n kepada PKR sebagai parti kerajaan untuk mewujudkan negara bebas rasuah.

“Ada beberapa ahli yang ditawarkan wang oleh individu tertentu datang jumpa (saya) mengadu ditawarkan (wang) untuk mengundi calon tertentu. Bukan hanya saya sahaja menerima aduan, ramai lagi pemimpin PKR (menerima aduan).

“Kenapa perkara ini berlaku dalam PKR? Kita kena ingat UMNO rosak disebabkan mereka membiarkan politik wang berleluasa dalam pemilihan parti. Adakah PKR merelakan parti ini disamakan dengan UMNO?” katanya kepada NSTP di sini, semalam.

Perlu teliti aduan

Abdullah Sani yang turut bersaing bagi jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, berkata Jawatankua­sa Pemilihan Pusat (JPP) parti itu perlu meneliti aduan salah laku pemimpin yang melanggar tatacara pemilihan, terutama politik wang.

“Aduan sudah dibuat kepada JPP tetapi tiada sebarang tindakan dilakukan. Cuma saya berharap perkara ini tidak akan berlaku lagi pada masa depan kerana harapan rakyat kepada PKR adalah tinggi,” katanya.

Semalam calon jawatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, mendakwa politik wang berlaku secara berleluasa, sepanjang pemilihan di enam negeri yang sudah mengadakan pengundian setakat ini.

Beliau yang merujuk pihak bertanggun­gjawab sebagai ‘sebelah sana’, mendakwa suasana politik wang tidak pernah dilihat dalam PKR sebelum ini.

Rafizi mendakwa, antara sebab utama beliau mengambil keputusan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR adalah kerana mahu membendung budaya politik wang daripada terus merebak dalam parti itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia