Berita Harian

Biro Politik bincang tuduhan Naib Presiden

-

Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Biro Politik PKR akan membincang­kan tuduhan bahawa politik wang kini sedang berleluasa dalam pemilihan parti itu seperti didakwa oleh Naib Presidenny­a, Rafizi Ramli, yang sedang bersaing bagi jawatan Timbalan Presiden.

“Kita akan tanya beliau (Rafizi) maklumat (politik wang) terlebih dahulu. Saya akan bawa perkara ini ke dalam mesyuarat biro politik,” katanya yang juga Ketua Umum PKR, ketika ditemui media di lobi Parlimen, semalam.

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, berkata Jawatankua­sa Pemilihan Parti (JPP) PKR akan menjalanka­n siasatan terhadap dakwaan Rafizi.

Beliau mengakui tidak mengetahui mengenai gejala terbabit sehinggala­h ditanyakan mengenainy­a oleh wakil media semalam.

“Awak (wartawan) dah tanya, sekarang baru saya tahu.

Jalan siasatan

“Kita akan siasat (dakwaan Rafizi), JPP yang akan siasat (dakwaan itu),” katanya selepas di lobi Parlimen selepas majlis penyerahan sumbangan bernilai RM315,000 bagi membantu penduduk yang terjejas tsunami dan gempa bumi di Palu, Sulawesi, Indonesia.

Hadir menyerahka­n sumbangan itu adalah Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan wakil Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, meminta ahli parti yang mempunyai maklumat mengenai politik wang yang berlaku membuat aduan kepada JPP.

"Setakat ini, pejabat setiausaha agung belum menerima sebarang aduan mengenai politik wang. Jika ahli mengetahui politik wang berlaku mereka boleh membuat aduan,” katanya.

Saifuddin berkata, beliau juga tidak menerima sebarang aduan daripada Rafizi mengenai politik wang itu.

Katanya, ahli parti itu perlu membuat aduan kerana budaya politik wang jika dibiarkan boleh menghancur­kan parti seperti yang berlaku kepada UMNO.

"Budaya politik wang itu tak dibenarkan bertapak dalam PKR, tidak sama sekali,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia