Berita Harian

MQA terima 615 program DVM bagi penilaian akreditasi

-

Kuala Lumpur: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menerima 615 program Diploma Vokasional Malaysia (DVM) oleh Kolej Vokasional (KV) bagi penilaian akreditasi sejak Jun 2016.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 510 program atau 83 peratus sudah mendapat akreditasi sementara.

“Sebanyak 428 program diterima untuk penilaian akreditasi dengan 12 program DVM oleh KV mendapat akreditasi penuh, manakala 54 program dalam proses memenuhi syarat untuk akreditasi penuh.

“Sebanyak 362 program pula sedang menjalani proses penilaian dan perlu mematuhi syarat bagi mendapat akreditasi penuh yang dijangka selesai pada pertengaha­n 2019,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Nurul Izzah Anwar (PH-PKR Permatang Pauh) mengenai statistik kemasukan pelajar ke KV dari 2013 sehingga kini dan sasaran kementeria­n untuk menyelesai­kan isu akreditasi persijilan graduan kolej vokasional bersama MQA.

Program KV

Bagi enrolmen pelajar program KV, seramai 15,916 memasuki program KV pada 2013, 2014 (18,022), 2015 (17,544), 2016 (12,875), 2017 (16,728) dan 2018 (14,243).

“Lulusan DVM boleh menyambung pengajian ke program ijazah sarjana muda di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tertakluk kepada kelulusan Senat IPTA dan IPTS dan mengambil kira penyetaraa­n Sijil Vokasional Malaysia dengan tiga kredit Sijil Pelajaran Malaysia seperti yang ditetapkan Lembaga Peperiksaa­n Malaysia,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kementeria­nnya akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmat­an Awam (JPA) bagi membolehka­n lebih ramai pemegang DVM memasuki sektor perkhidmat­an awam.

“Memang benar kita ada masalah pemegang DVM tidak boleh kerja dengan kerajaan kerana DVM tidak dapat akreditasi penuh. Sebenarnya, SVM setaraf dengan SPM dan melalui SVM, kita boleh longgarkan syarat supaya pelajar boleh guna SVM dan tidak perlu tiga kredit dalam SPM untuk bekerja dengan kerajaan.

“Setakat ini, syarat ditentukan JPA, iaitu setiap program atau DVM itu perlu dapat akreditasi penuh untuk membolehka­n mereka bekerja dengan kerajaan. Jadi kita akan berbincang dengan JPA sama ada syarat ini boleh dilonggark­an agar banyak pemegang DVM boleh bekerja dalam sektor kerajaan,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia