Berita Harian

Permit import sisa plastik dibeku

-

Kuala Lumpur: Permit mengimport sisa plastik bagi menampung bekalan operasi kilang penghasila­n semula bahan itu di Malaysia ketika ini dibekukan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata lesen untuk menubuhkan kilang kitar semula sisa plastik turut dibekukan sehingga jawatankua­sa khas membabitka­n lima kementeria­n memutuskan langkah kerajaan seterusnya.

“Kita nak beri laluan kepada jawatankua­sa bersepadu ini meneliti langkah penyelesai­an berhubung isu penghasila­n menggunaka­n sisa plastik,” katanya menjawab soalan tambahan Ma’mun Sulaiman (Warisan-kalabakan) di Dewan Rakyat, semalam.

Pandang serius isu

Ma’mun meminta perincian mengenai langkah segera kerajaan dalam menangani isu import sisa plastik dan operasi kilang haram yang semakin berleluasa di negara ini.

Menjawab soalan asal Ma’mun mengenai pandangan kementeria­n berhubung isu terbabit, Bee Yin berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan, justeru penutupan lebih 30 kilang haram, khususnya di Kuala Langat dilaksanak­an.

“Kita bukan sahaja sita, tetapi potong bekalan air, elektrik dan tangkap mereka (operator) mengikut Seksyen 37C Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 supaya diberikan hukuman setimpal,” katanya.

Mengulas soalan Lim Kit Siang (PH Dap-iskandar Puteri) pada sesi jawab lisan berhubung isu sama, Bee Yin berkata, kerajaan perlu merangka penyelesai­an menyeluruh kerana industri plastik menyumbang RM30 bilion kepada pendapatan negara.

Beliau berkata, pendekatan seimbang harus dirangka membabitka­n kepentinga­n awam, alam sekitar dan pengusaha industri, sekali gus menangani Malaysia serta negara anggota ASEAN dijadikan ‘tong sampah’ sisa plastik negara maju.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia