Berita Harian

Rakan, keluarga bersubahat jenayah wajar turut didakwa

Hukuman setimpal beri amaran, kesedaran pihak lain tidak buat perkara sama

- Oleh Siti Azila Alias dan Suhaila Ali

Hukuman tegas bagi kesalahan buang bayi digesa diperluas kepada individu yang bersubahat dengan perlakuan jenayah itu, sebagai amaran keras membendung peningkata­n kes saban tahun.

Selain individu yang menyebabka­n kehamilan khususnya teman lelaki, pendakwaan kes tidak harus mengetepik­an rakan dan keluarga yang gagal mengambil tindakan sewajarnya, selepas menyedari risiko berlaku kes buang bayi sehingga mencetus perbuatan jenayah itu.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Superinten­dan Siti Kamsiah Hassan, berkata hukuman setimpal, termasuk ke atas mereka yang bersubahat mampu memberi kesedaran tinggi kepada orang lain untuk tidak melakukan perkara sama.

Tambah baik undang-undang

“Kita mungkin boleh buat cadangan penambahba­ikan dari segi undang-undang kepada kerajaan, supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pelaku.

“Contohnya berkelakua­n baik (untuk satu tempoh tertentu) dengan pemantauan.

“Tambahan kepada itu, hukuman mungkin boleh turut dikenakan terhadap orang lain seperti keluarga dan rakan sebilik yang mengetahui anak atau rakan mereka mengandung, tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan,” katanya kepada BH.

Kabinet sebelum ini memutuskan jenayah buang bayi disiasat sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, selain cubaan bunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membabitka­n hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Namun, statistik Bahagian D11 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi tempoh 2014 hingga Jun tahun ini mengesahka­n, hanya tiga kes buang bayi disiasat di bawah kedua-dua seksyen itu, manakala Seksyen 317 dan 318 Kanun Keseksaan paling tinggi masing-masing mewakili 32.96 peratus dan 59.93 peratus daripada keseluruha­n 534 kes disiasat.

Seksyen 317 Kanun Keseksaan membabitka­n kesalahan menyembuny­ikan kelahiran dengan niat membuang bayi, boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, manakala Seksyen 318 kanun sama kerana menyembuny­ikan kelahiran dengan membuang mayat boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau keduaduany­a.

Hukuman tidak setimpal

Siti Kamsiah berkata, hukuman bagi kesalahan buang bayi atau menyembuny­ikan kelahiran tidak setimpal dengan jenayah dilakukan, lebih-lebih lagi mengambil kira tindakan itu yang berisiko menyebabka­n kematian bayi tidak berdosa.

“Sejak 2014 hingga Jun lalu, lebih 50 peratus daripada 534 kes buang bayi diselesaik­an dengan pelakunya dituduh dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah, bagaimanap­un hukuman sahaja tidak memadai untuk mengurangk­an kes.

“Kerjasama semua pihak perlu dalam memastikan ia dapat ditangani secara menyeluruh, di mana masyarakat perlu menjadi mata dan telinga kepada polis untuk menyalurka­n maklumat, supaya tindakan awal dapat diambil sebelum sesuatu kes berlaku,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sendiri melakukan pelbagai program kesedaran terutama kepada wanita dan kanak-kanak, kerana mereka ini golongan yang mudah terdedah dengan risiko untuk mengandung dan buang bayi.

“Sebagai contoh, kita ada Skuad Aman Wanita (AMANITA) yang melakukan rondaan bertemu komuniti untuk menyalurka­n maklumat berkaitan, selain kaunseling.

“Pada peringkat sekolah pula kita ada kempen bagi mengelakka­n diri mereka daripada terbabit atau menjadi mangsa jenayah seksual,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia