‘Pindah lagi selepas 2 hari balik rumah’
Penduduk Kampung Batu Lapan terpaksa ke PPS semula selepas banjir melanda kali ketiga
Baru dua hari pulang ke rumah selepas ‘menghuni’ pusat banjir, penduduk Kampung Batu Lapan, Mukim Siong, di sini, terpaksa berpindah lagi apabila rumah mereka dinaiki air, kelmarin.
Suri rumah, Khalidah Ibrahim, 65, berkata air menenggelami rumah kira-kira jam 8 malam akibat hujan lebat sejak petang kelmarin menyebabkan penduduk berpindah ke tempat selamat.
“Ini musibah paling besar kerana tidak sampai dua minggu, tiga kali kami dilanda banjir.
“Saya hanya sempat membersihkan rumah dan menginap dua malam di rumah.
Banyak barangan rosak
“Banyak barangan yang rosak dan tidak sempat diselamatkan sejak banjir pertama, kedua dan ketiga,” katanya ketika ditemui semalam.
Seorang lagi mangsa, Jamilah Che Morad, 58, berkata beliau baru sahaja selesai membersihkan rumah apabila dinaiki air semula, berserta lumpur dan sampah-sarap, malam kelmarin.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Isahak, berkata hujan lebat sejak 6 petang menyebabkan air Sungai Ketil melimpah dengan cepat.
Beliau berkata, lapan keluarga membabitkan 40 mangsa terjejas dengan bencana it, namun hanya empat keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana rumah mereka terjejas teruk serta terletak di tebing sungai.
Ini musibah paling besar kerana tidak sampai dua minggu, tiga kali kami dilanda banjir. Saya hanya sempat bersihkan rumah dan menginap dua malam di rumah” Khalidah Ibrahim, Suri rumah