Berita Harian

Orang ramai dinasihat tangguh aktiviti daki gunung

-

Kuantan: Orang ramai, khususnya pendaki dinasihatk­an menangguhk­an aktiviti pendakian berikutan cuaca tidak menentu ketika ini, termasuk ketibaan musim tengkujuh yang dijangka bermula awal bulan hadapan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Nor Hisham Mohammad, berkata aktiviti mendaki gunung, perkhemaha­n dalam hutan atau kawasan rekreasi seperti air terjun boleh terdedah kepada risiko seperti fenomena kepala air dan air pusar, tanah runtuh dan ditimpa dahan patah.

Beliau juga mengingatk­an keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan dan ribut petir ketika ini tidak sesuai untuk orang ramai mendaki kerana dikhuatiri sesat kerana terpaksa menggunaka­n laluan lain yang lebih jauh dan terdedah kepada pelbagai risiko lain.

Elak kunjungi air terjun

“Kita minta orang ramai elak mengunjung­i kawasan rekreasi air terjun apabila bermulanya Monsun Timur Laut kerana fenomena kepala air yang boleh mengancam nyawa,

“Kepala air ini adalah sukar dijangka, terutama apabila kawasan hulu sungai hujan lebat.

“Jadi, kita minta orang ramai sentiasa menghubung­i polis atau Jabatan Perhutanan untuk mendapatka­n nasihat sama ada boleh meneruskan rancangan masing-masing atau sebaliknya sekali gus tidak membahayak­an diri masing-masing,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kenal pasti kawasan berisiko

Nor Hisham berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa gunung dan air terjun yang berisiko untuk dikunjungi pada musim tengkujuh dan akan berbincang serta bekerjasam­a dengan Jabatan Perhutanan Pahang supaya meletak notis memaklumka­n kawasan itu ditutup sepanjang musim berkenaan, iaitu antara November hingga Mac.

Beliau berkata, antaranya ialah Gunung Irau di Cameron Highlands, Gunung Rajah di daerah Bentong yang menjadi tumpuan ramai pendaki termasuk dari luar Pahang.

“Orang ramai perlu jelas bahawa aktiviti mendaki sepatutnya dihentikan sepanjang musim hujan lebat kerana trek licin, aliran air sungai meningkat dan memudahkan mereka mendapat kecederaan atau terkandas.

“Kita tidak boleh menempatka­n anggota (bomba) membuat pemantauan di kawasan berkenaan sepanjang masa,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Perhutanan negeri berkata, sebanyak 26 taman eko rimba yang diurus selia jabatan itu akan ditutup sementara sepanjang Monsun Timur Laut.

Beliau berkata, fenomena kepala air yang boleh berlaku tiba-tiba dan bahaya aliran air ini apabila hujan lebat di kawasan hulu sungai boleh membawa bermacam kelodak, batu dan kayu balak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia