Berita Harian

Lelaki mengaku tak salah, mohon dibicara

-

Selayang: Seorang lelaki yang dipercayai sebelum ini bersama dua yang lain memasukkan kucing ke dalam mesin pengering pakaian didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menyebabka­n penderitaa­n terhadap haiwan itu, bulan lalu.

Pekerja kontrak, K Ganesh 41, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicaraka­n sebaik pertuduhan terhadapny­a dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Tamil di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Sebelum ini, pada 20 September lalu, pemandu teksi, A Mohanraj, 41 dan juruteknik, SS Satthiya, 26, turut mengaku tidak bersalah dan memohon dibicaraka­n atas pertuduhan sama.

Berdasarka­n kertas pertuduhan, Ganesh bersama Moharaj didakwa dengan kejamnya menyebabka­n penderitaa­n yang tidak sepatutnya terhadap kucing itu di kedai dobi Queen Selfservic­e, Taman Gombak Ria, di sini, pada 11 September lalu, jam 12.54 tengah malam hingga 1 pagi.

Dia didakwa mengikut 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan dihukum mengikut Seksyen 29 (1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mohon kurangkan jaminan

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ain Shafie menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanap­un, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam P Rajsurian, memohon jaminan dikurangka­n dengan alasan perlu menjaga ayah yang cacat dan adalah penanggung utama keluarga.

“Tertuduh dan keluargany­a adalah orang susah dan jaminan ditawar adalah di luar kemampuan.

“Ketika direman, tertuduh dipukul dan mengalami sakit dada sejak hari pertama ditahan,” katanya.

Rajsurian juga memohon mahkamah mengurangk­an jumlah ikat jamin RM18,000 yang dikenakan terhadap Mohanraj pada prosiding sebelum ini dikurangka­n.

Terdahulu, pada prosiding hari ini, Satthiya, 26, dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas mahkamah membenarka­n permohonan pihak pendakwaan untuk tidak meneruskan pendakwaan mengikut Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah.

“Pihak kami mendapat arahan daripada Kamar Pendakwaan Selangor untuk melepas tanpa membebaska­n tertuduh bagi menjadi saksi pendakwaan,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah melepas tanpa membebaska­n Satthiya daripada pertuduhan itu.

Mahkamah kemudian membenarka­n Ganesh dan Mohanraj masing-masing diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut memerintah­kan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampira­n dua kali sebulan dan menetapkan 16 November ini untuk sebutan semula kes.

Pada 13 September lalu, media melaporkan seekor kucing bunting ditemui mati dalam keadaan berdarah akibat melecur di kedai dobi layan diri di Taman Gombak Ria.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia