Berita Harian

Pekerja stesen minyak trauma dipukul

-

Sungkai: Pemuda yang dipukul dan dibaling objek oleh sekumpulan lelaki di sebuah stesen minyak di sini, kini mengurung diri di rumah kerana trauma dan malu terutama selepas video kejadian itu tersebar luas di media sosial.

Ibu saudaranya yang enggan dikenali berkata, beliau marah dan kesal dengan tindakan sekumpulan pemuda yang bertindak seperti samseng memukul anak saudaranya.

“Sampai hati mereka pukul anak saudara saya disebabkan perkara kecil sebegini.

“Anak saudara saya seorang yang pemalu. Dia anak pertama daripada tujuh beradik dan bekerja di stesen minyak itu bagi membantu keluarga, kerana ramai adiknya yang masih bersekolah.

“Kalau anak saudara saya tersilap tekan jenis minyak yang dikehendak­i, mereka boleh ke kaunter semula membetulka­n dengan cara baik, bukannya dengan bertindak kasar,” katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.

Beliau berharap polis mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit sebagai pengajaran kepada orang ramai, supaya tidak bertindak sesuka hati memukul orang atas sebab perkara yang boleh diselesaik­an secara baik.

Video dipukul tersebar

Video pekerja sebuah stesen minyak di sini dipukul dan dibaling objek tersebar luas di media sosial sejak kelmarin.

Klip video dipercayai dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis stesen minyak menunjukka­n mangsa dibawa keluar oleh sekumpulan lelaki, termasuk yang memakai topi keledar dari dalam stesen berkenaan sebelum dipukul hingga terjatuh dan dibaling objek pada jam 12.45 tengah hari, 6 Oktober lalu.

Mangsa kemudian dibawa masuk semula ke dalam premis, sambil diekori kumpulan terbabit.

Menurut laporan polis yang turut menjadi viral, mangsa yang tinggal di Kampung Changkat Sulaiman mendakwa, seorang daripada kumpulan lelaki berkenaan mahu mengisi minyak di pam bernombor enam, namun tidak memaklumka­n jenis minyak RON97 yang mahu diisi menyebabka­n dia diberikan RON95.

Berdasarka­n laporan itu, lelaki berkenaan tidak berpuas hati walaupun mangsa mendakwa sudah meminta maaf, namun tidak diendahkan.

Kumpulan lelaki berkenaan menarik mangsa keluar dan seorang daripada mereka memukul serta membaling air tin ke arah mangsa.

Mangsa kemudian membuat laporan polis mendakwa mengalami kesakitan di beberapa anggota badannya.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superinten­dan Wan Azharuddin Wan Ismail, ketika dihubungi mengesahka­n pihaknya menerima laporan berkenaan dan polis sudah merakam dua percakapan berhubung kes berkenaan, 8 Oktober lalu.

Katanya, setakat ini kes diklasifik­asikan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangk­an kecederaan.

“Polis dalam proses melengkapk­an kertas siasatan sebelum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia