Berita Harian

Madrasah tahfiz buat projek madu kelulut

Pelajar secara tidak langsung didedah dengan kemahiran ilmu usahawan

- Oleh Noorazura Abdul Rahman

Projek madu kelulut yang diusahakan secara suka-suka pada awalnya di Kampung Lembah Arang, Wang Tepus, di sini, tiga tahun kini menjadi sumber pendapatan kepada Madrasah Tahfiz Taufiqilla­h.

Hasil madu kelulut dari 120 sarang yang diusahakan madrasah itu sangat memberangs­angkan dan ia dijual pada harga RM30 bagi setiap 120 gram.

Pada musim bunga, madu yang dituai mencecah 100 kilogram (kg), dengan hasil jualan RM24,000.

Pengetua Madrasah Tahfiz Taufiqilla­h, Auzaid Ismail, 44, berkata wang hasil jualan madu digunakan untuk membayar bil elektrik madrasah kira-kira RM1,500 setiap bulan. Ia dapatlah menampung sedikit perbelanja­an madrasah yang mencecah RM20,000 sebulan.

“Tujuh puluh peratus pelajar di sini adalah anak yatim, orang miskin serta mualaf. Mereka tidak dikenakan yuran, manakala bagi keluarga yang berkemampu­an, yuran hanya RM180 sebulan,” katanya.

Auzaid yang mengasaska­n madrasah terbabit sejak 2013 berkata, beliau memulakan projek madu kelulut itu itu pada awal 2015, dengan hanya dua sarang untuk kegunaanny­a sekeluarga.

Namun, semakin pelajar menunjukka­n minat dengan projek itu dan hasilnya, beliau menambah bilangan sarang sehingga mencecah 120 sarang ketika ini.

Pada peringkat awal, Auzaid berkata, beliau tidak mempunyai ilmu mengenai kelulut menyebabka­n lebah itu meninggalk­an sarangnya.

Diajar teknik jaga kelulut

Beliau kemudian bertemu dengan seorang pensyarah dari Politeknik Sultan Abdul Halim (POLIMAS), di sini, yang mengajarny­a secara praktikal teknik penjagaan kelulut.

Sarang kelulut diletakkan di bawah pokok serta lereng bukit dan ia kini menjadi seperti sebuah taman yang dinamakan Taufiqilla­h Stingless Bee Farm.

Beliau kini membina sebuah galeri untuk menyimpan dan menjual madu, yang dijangka siap pada awal tahun depan.

“Seiring dengan keindahan taman kelulut di lereng bukit serta pelbagai pokok bunga yang ditanam, pastinya ladang kelulut ini boleh dijadikan pusat agropelanc­ongan Islamik tidak lama lagi,” katanya.

Pelajar, Mohd Syarhan Mohd Tahir, 16, berkata beliau bersyukur dapat belajar di madrasah itu, yang turut mendedahka­nnya pada ilmu keusahawan­an.

Beliau diberi kepercayaa­n untuk menjaga sarang kelulut dan menyedut madu pada sebelah petang sebelum diisi ke dalam botol.

“Sekarang, saya juga diajar cara membuat sabun mandian dan pencuci muka berasaskan madu. Ia pengalaman yang mungkin jarang diperoleh di madrasah lain.

“Ladang kelulut di sini sudah sebati dengan kami sebagai pelajar, malah suasana berbukit di sini juga dapat mengubat kerinduan saya kepada keluarga,” katanya yang berasal dari Ranau, Sabah.

Wang hasil jualan madu digunakan untuk membayar bil elektrik madrasah kirakira RM1,500 setiap bulan” Auzaid Ismail, Pengetua Madrasah Tahfiz Taufiqilla­h

 ?? [FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN /BH] ?? Warga Madrasah Tahfiz Taufiqilla­h di hadapan Taufiqilla­h Stingless Bee Farm yang boleh dijadikan pusat agropelanc­ongan Islamik.
[FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN /BH] Warga Madrasah Tahfiz Taufiqilla­h di hadapan Taufiqilla­h Stingless Bee Farm yang boleh dijadikan pusat agropelanc­ongan Islamik.
 ??  ??
 ??  ?? Pelajar diberi latihan menyedut madu dari sarang kelulut.
Pelajar diberi latihan menyedut madu dari sarang kelulut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia