Berita Harian

Lokasi jual produk daging babi disertu

Kerja pembersiha­n dilakukan patuhi hukum syarak

- Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

Lokasi penganjura­n makanan berasaskan daging babi sempena Festival ‘Tastefully Food and Beverage Expo’ di Pusat Dagangan Antarabang­sa Melaka (MITC), di sini, pada Jumaat hingga Ahad lalu, sudah dibersihka­n dan disertu, pagi semalam.

Proses pembersiha­n dilakukan pihak perunding melalui kaedah fiqah, air basuhan sebanyak tujuh kali, termasuk basuhan pertama bercampur air tanah di kawasan yang dikenal pasti berisiko tercemar dengan elemen najis haiwan itu.

Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Mohd Arif Rahimi Md Sakih, berkata beliau turut memantau pelaksanaa­n proses sertu di lokasi berkeluasa­n 30 meter persegi itu.

“Proses pembersiha­n dan pelaksanaa­n sertu mematuhi hukum syarak serta memenuhi keperluan ditetapkan dalam garis panduan dikeluarka­n Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Surat pengesahan

“JAIM juga akan mengeluark­an surat pengesahan menyatakan kawasan ini sudah disertu untuk diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif MITC, Abdul Wahab Ibrahim, untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

NSTP sebelum ini melaporkan, tujuh gerai jualan yang menjual makanan berasaskan daging babi di festival berkenaan diarahkan tutup serta-merta, Sabtu lalu, selepas pengguna Facebook memuat naik paparan mengenai gerai yang menjual secara terbuka hidangan ‘Pork Burger’.

Tindakan drastik itu dibuat selepas Abdul Wahab mengambil kira sensitivit­i pengunjung, malah selepas mengadakan perbincang­an dengan Mufti negeri, Datuk Abdul Halim Tawil dan Yang Dipertua Majlis Perbandara­n Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Mahani Masbah.

Sementara itu, Abdul Wahab berkata, pihaknya akan lebih berhati-hati untuk membenar atau meluluskan program penganjura­n berasaskan makanan dan minuman dengan mengambil pendekatan baik dan tidak menyinggun­g semua pihak.

“Dalam terma MITC, kita tidak benarkan menjual arak, selain (produk) yang menyalahi undang-undang.

“MITC adalah pusat penganjura­n antarabang­sa, jadi semua (kaum dan bangsa) ada. Kalau nak buat (makanan tidak halal) kita akan lihat.

“Jika ia dibenarkan, buat sudut pengasinga­n di tempat khas. Pamer tidak halal (iklan penganjura­n) serta tidak boleh masak,” katanya.

Beliau turut mengesahka­n kejadian itu adalah kali pertama berlaku disebabkan tiada tempat pengasinga­n khas, walaupun sudah empat kali dianjurkan di lokasi sama sebelum ini.

“Sepatutnya insiden ini tidak berlaku kerana sesebuah ekspo yang dijalankan perlu menepati kaedah dan tata cara yang ditetapkan oleh Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pihak berkuasa tempatan.

“Jadi, pihak penganjur mesti mematuhi arahan selepas ini,” katanya.

 ?? [FOTO MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER /BH] ?? Pekerja melakukan proses pembersiha­n di lokasi penganjura­n makanan berasaskan daging babi sempena Festival Tastefully Food and Beverage Expo, pagi semalam.
[FOTO MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER /BH] Pekerja melakukan proses pembersiha­n di lokasi penganjura­n makanan berasaskan daging babi sempena Festival Tastefully Food and Beverage Expo, pagi semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia