Berita Harian

Gelaran ‘Datuk’ tidak jejas khidmat kepada rakyat: Stephen

-

Kota Kinabalu: Pengerusi DAP Sabah memberi jaminan beliau akan kekal mudah untuk didekati rakyat, meskipun bergelar ‘Datuk’ selepas menerima pingat Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK), baru-baru ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahter­aan Rakyat negeri, Datuk Stephen Wong, berkata beliau tetap mematuhi prinsip parti itu untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan bukannya mengejar nama serta kekayaan.

“Penganuger­ahan gelaran Datuk kepada beberapa pemimpin DAP negeri ini, menarik banyak kritikan, termasuk daripada orang ramai.

“Kita tidak boleh menghalang mereka mengeluark­an pendapat atau pandangan tetapi kami memberi jaminan akan meneruskan perkhidmat­an untuk rakyat seperti biasa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Stephen yang juga Ahli Parlimen Sandakan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, berkata pemimpin DAP menerima anugerah itu bagi menghormat­i dan mengekalka­n hubungan baik dengan Yang di-pertua negeri, Tun Juhar Mahiruddin sempena ulang tahun ke-65 beliau.

Contohi pemimpin tertinggi parti

“Gelaran itu diberikan kepada kami oleh Yang di-pertua Negeri dan tiada seorang pun daripada kami yang meminta atau melobi gelaran berkenaan.

“Ia keadaan sukar dielakkan pada masa itu dan kami sudah menerangka­n kepada Jawatankua­sa Eksekutif Pusat DAP mengenainy­a dan mereka menerimany­a dengan baik,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata pemimpin parti itu tidak patut menerima gelaran ‘Datuk’ sebaliknya mencontohi pemimpin tertinggi parti seperti Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh yang menolak gelaran itu sebelum ini.

Selain Stephen, beberapa pemimpin DAP negeri turut menerima anugerah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran ‘Datuk’ iaitu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Frankie Poon dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Jimmy Wong.

Sementara itu, wakil rakyat DAP lain, antaranya ADUN Karamuntin­g, Calvin Chong Ket Kuin; ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe; ADUN Likas, Tan Lee Fatt; ADUN Kepayan, Jannie Lasimbang; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin dan Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual menerima pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) yang tidak membawa sebarang gelaran.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia