Berita Harian

MBM nafi tembak anjing dalam pagar rumah

-

Miri: Majlis Bandaraya Miri (MBM) menafikan menembak anjing peliharaan di kawasan berpagar milik penduduk seperti yang tular di media sosial.

Datuk Bandar Miri, Adam Yii berkata, dakwaan yang disebarkan di laman Facebook oleh seorang penduduk di bandar raya ini mengenai tindakan pasukan menangkap anjing liar pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi operasi antirabies adalah tidak tepat.

Beliau dalam kenyataan medianya, berkata hasil siasatan dalaman MBM mendapati kes itu tidak berlaku, sebaliknya mesej yang dimuat naik pemilik akuan itu adalah palsu.

“Siasatan kita mendapati gambar yang diambil tidak menunjukka­n kejadian seperti didakwa. Anjing yang ditembak berkenaan berada di luar pintu pagar rumah terbabit,” katanya.

Beliau berkata, jika anjing itu berada di dalam pagar atau halaman rumah, MBM tidak akan menembakny­a.

Perlu uji sampel darah

Katanya, ini kerana anjing yang ditembak perlu diuji sampel darah untuk memastikan haiwan itu bebas virus rabies.

“Sampel darah anjing yang ditembak akan dihantar kepada Jabatan Veterinar untuk dianalisis,“katanya.

Beliau berkata, pasukan yang ditugaskan untuk menangkap anjing sudah menjalani latihan mengikut piawaian ditetapkan dan mereka juga harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Malah ada arahan jelas kepada mereka supaya hanya menangkap anjing yang berkeliara­n di luar rumah.

“Mereka tidak dibenarkan menangkap anjing di dalam rumah atau halaman milik orang awam,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia