Berita Harian

ANGGOTA KASTAM, IMIGRESEN AWASI BILIK MENUNGGU KHAS VIP

Langkah tangani kegiatan haram, penyeludup­an wang

-

Anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen akan ditempatka­n di luar bilik menunggu khas orang kenamaan atau VIP bagi menangani kegiatan haram, termasuk penyeludup­an wang.

Menteri Pengangkut­an, Anthony Loke Siew Fook, berkata ketika ini langkah untuk menempatka­n pegawai daripada dua agensi penguat kuasa itu tidak dilakukan, sekali gus mengundang risiko penyeludup­an.

“Kita tahu ada kelemahan laluan VIP, justeru kita minta kerjasama dengan agensi lain seperti imigresen dan kastam, selain Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk me ngetatkan langkah keselamata­n.

“Kalau sebelum ini urusan di bilik menunggu khas diuruskan pegawai pengiring, kini kita letakkan anggota kastam dan imigresen di laluan keluar orang kenamaan.

“Mesin pengimbas juga diletakkan di laluan keluar supaya sebarang kegiatan penyeludup­an, termasuk membabitka­n wang yang pernah berlaku sebelum ini tidak berulang,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Pang Hok Liong (PH DAPLabis) yang membangkit­kan usaha kerajaan untuk menangani tindakan penyeludup­an wang sebelum ini, menjangkau RM49 juta ke dalam negara berupaya dibanteras.

Pada 4 September lalu, Kementeria­n Pengangkut­an mengarahka­n MAHB mengetatka­n pemeriksaa­n di laluan orang kenamaan di semua lapangan terbang.

Ia susulan pendedahan NSTP bahawa pesawat atau jet persendiri­an yang ada kaitan dengan pemimpin atau orang kenamaan dipercayai digunakan untuk menyeludup wang tunai dalam jumlah besar ke negara ini.

Ia diburukkan lagi apabila mesin pengimbas di laluan keluar lapangan terbang jarang diguna untuk memeriksa bagasi atau barangan dibawa penumpang pesawat atau jet persendiri­an terbabit sehingga wang jutaan ringgit mampu diseludup keluar atau masuk tanpa pemeriksaa­n rapi.

Bawa masuk RM49 juta

Dipercayai, modus operandi itu juga diguna untuk membawa masuk RM49 juta (AS$12 juta) dari luar negara pada April lalu oleh sebuah agensi ada kaitan dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM) ketika pentadbira­n terdahulu untuk tujuan politik termasuk bagi Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU14).

Menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PASRantau Panjang) mengenai jumlah kes penyeludup­an di laluan VIP dan langkah menaik taraf sistem keselamata­n di lapangan terbang, Siew Fook menyifatka­n, penguatkua­saan pemeriksaa­n itu tidak sewajarnya dipandang serong.

“Sejak kita ambil alih, tiada tindakan sebab belum ada penyalahgu­naan, dulu tak pasti. Daripada segi tindakan, (saya akui) ada kelonggara­n dulu, justeru kita akan ketatkan supaya tiada kes sedemikian.

“Ahli Parlimen yang mempunyai hak untuk menggunaka­n laluan kenamaan perlu beri kerjasama kepada pihak berkuasa lapangan terbang dan jangan merungut. Itu prosedur, siapa juga akan diperiksa,” katanya.

Menurut Loke juga, mesin pengimbas Xray akan ditempatka­n di lapangan terbang secara berperingk­at mulai awal tahun depan dan penumpang tidak lagi perlu lagi melalui pemeriksaa­n fizikal.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, turut mengajukan soalan kepada Loke, iaitu sama ada penggunaan pemeriksaa­n haiwan seperti anjing akan turut dilaksanak­an di lapangan terbang antarabang­sa.

“Ini soalan khas daripada Timbalan Yang Dipertua, saya memerlukan jawapan bertulis untuk diserahkan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia