Berita Harian

Mahdzir dipanggil beri keterangan

-

Putrajaya: Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, memberi keterangan selama lima jam kepada Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kelmarin.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani, ketika dihubungi mengesahka­n bekas menteri itu dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM, bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewen­gan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak.

Seleweng pasang panel tenaga solar

“Beliau beri keterangan dari jam 10 pagi hingga 3 petang semalam (kelmarin). Ia berkaitan kes penyelewen­gan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pada 9 Julai lalu, bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak ditahan SPRM, sebelum direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes sama.

Sumber berkata, individu bergelar Datuk berusia 44 tahun itu disiasat berhubung dakwaan meminta wang daripada sebuah syarikat berpangkal­an di Bintulu, yang dianugerah­kan untuk memasang panel solar di sekolah di Sarawak.

Pada 11 Jun, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata Kementeria­n Pendidikan memulakan proses siasatan dalaman, bagi mengenal pasti individu yang terbabit dalam isu penyelewen­gan pemberian kontrak membekal tenaga solar dan diesel di 369 sekolah di Sarawak.

Terdapat 369 sekolah di negeri itu yang tidak mempunyai bekalan elektrik tetap dan hanya menggunaka­n janakuasa diesel untuk menjana elektrik.

Pada 27 Jun, dua lelaki termasuk seorang pengarah urusan sebuah syarikat yang berpangkal­an di Bintulu, Sarawak direman bagi membantu siasatan kes penyelewen­gan pemberian kontrak projek hybrid solar itu.

Pada 9 Julai, seorang bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bergelar ‘datuk’ ditahan bagi membantu siasatan kes penyelewen­gan yang sama.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia