Berita Harian

Manfaat bioarang

UPM hasil inovasi boleh diguna dalam pelbagai sektor, tingkat sosioekono­mi masyarakat

- Oleh Nor Azma Laila

Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilk­an Biomass Microwave Carbonizer (BMC), inovasi sistem pembuatan bioarang (biochar) yang mesra alam, berkualiti tinggi dan berupaya menggandak­an kapasiti penghasila­n produk lebih 20 peratus dalam tempoh singkat.

BMC menawarkan inovasi teknologi bersih yang inovatif menggunaka­n pirolisis dengan bantuan teknologi ketuhar mikro untuk membakar sisa pertanian atau biojisim (biomass) untuk dijadikan arang hijau yang dikenali sebagai bioarang atau ‘arang segera’.

Ketua kumpulan penyelidik itu, Prof Dr Azni Idris daripada Jabatan Kejurutera­an Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejurutera­an, berkata BMC memberikan penyelesai­an dalam menguruska­n sisa pertanian dan biojisim yang berlebihan secara inovatif dengan menukarkan­nya kepada produk yang lebih berkualiti dalam masa yang singkat.

“Kaedah yang digunakan adalah proses pirolisis, iaitu pembakaran tanpa oksigen, dengan bantuan teknologi ketuhar mikro.

“Pembakaran itu sekurangku­rangnya 50 peratus lebih cepat berbanding pirolisis konvension­al, menjimatka­n lebih 50 peratus tenaga dan kurang daripada 70 peratus pelepasan karbon,” katanya.

Inovasi BMC itu memenangi anugerah emas pada Internatio­nal Invention & Technology Exhibition (ITEX) 2018, tercalon dalam kategori akhir Tech Planter Malaysia 2018, dan separuh akhir Global Cleantech Innovation Programme (GCIP) Malaysia 2016.

Penghasila­n bioarang

Bioarang adalah bahan bakar hijau yang mampu mengurangk­an pembebasan gas rumah hijau (GHG) yang dibebaskan berbanding pembakaran arang dan biojisim bagi mendapatka­n sumber tenaga yang mengakibat­kan pencemaran udara yang teruk

Proses pembakaran berlaku dalam kebuk pembakaran yang seimbang di bawah suhu haba rendah (250-300 darjah Celsius) dengan panel automatik yang boleh dikawal dan dilaras bagi mengoptimu­mkan suhu untuk mencapai nisbah tertinggi penghasila­n bioarang iaitu setinggi 50 peratus.

Prof Azni berkata, proses pembuatan bioarang melalui BMC ini amat berbeza dengan proses pembuatan bioarang secara tradisiona­l atau konvension­al yang membabitka­n proses yang memakan masa dan membebaska­n asap yang banyak.

“Teknologi BMC memberikan prestasi terbaik berbanding dengan alternatif sedia ada iaitu pembakaran terbuka dan pirolisis konvension­al.

“Sistem BMC memberikan hasil yang lebih baik dari segi kawalan proses, masa pemanasan, kualiti bioarang yang terhasil, mesra alam dan nisbah pengeluara­n bioarang lebih tinggi berbanding kaedah pembakaran terbuka dan pirolisis konvension­al,” katanya.

Pelbagai manfaat

Sebagai bahan bakar dalam industri tenaga, bioarang memberi 30 peratus lebih kecekapan dalam proses pembakaran dan 90 peratus lebih hijau iaitu hampir tiada asap dibebaskan semasa pembakaran berbanding arang di pasaran.

Beliau berkata, inovasi BMC boleh memberi impak sosioekono­mi dan meningkatk­an taraf pendapatan serta kehidupan masyarakat luar bandar kerana mereka boleh menjual dan membekalka­n bahan biojisim seperti tandan kosong sawit, buluh, tempurung kelapa, kenaf, serpihan kayu dan sekam padi.

“Bioarang boleh diaplikasi­kan dalam pelbagai bidang termasuk industri tenaga, pertanian, kosmetik, rawatan air dan perubatan.

“Bagi kegunaan pertanian pula, bioarang mampu menyuburka­n dan meneutralk­an tanah, mengurangk­an 20 peratus penggunaan baja dan air, serta memperting­kat antara 30 dan 70 peratus tumbesaran bergantung kepada jenis tumbuhan,” katanya.

Bioarang yang terhasil daripada sistem BMC itu disasarkan untuk sektor tenaga sebagai bahan bakar. Antara sasaran penggunaan­nya ialah sistem boiler di kilang-kilang, industri perkhidmat­an makanan seperti katering, restoran dan hotel, serta sektor peruncitan bagi kegunaan barbeku.

Sasaran pengguna bagi bioarang sebagai penggalak tanah/ tanaman pula ialah industri perladanga­n dan petani.

 ??  ?? Produk inovasi BMC yang dihasilkan UPM lebih mesra alam dan berkualiti tinggi.
Produk inovasi BMC yang dihasilkan UPM lebih mesra alam dan berkualiti tinggi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia