Berita Harian

Penduduk bantah bina pemancar telekomuni­kasi

-

Padang Besar: Penduduk dan peniaga sekitar Arked Niaga Padang Besar mempertika­ikan tindakan Majlis Perbandara­n Kangar (MPK), yang meluluskan pembinaan pemancar telekomuni­kasi di atas Gapura Square, di sini.

Mereka yang mendakwa mewakili 500 penduduk dan peniaga mempersoal­kan tindakan MPK, yang jelas melanggar garis panduan dikeluarka­n Kementeria­n Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Penduduk Gapura Square, Khoo Choon Wuei, 38, berkata berdasarka­n panduan KPKT, pembinaan pemancar di atas bangunan tidak boleh melebihi separuh ketinggian permukaan tapak bangunan.

“Mereka bina di bangunan setinggi 10.2 meter, sepatutnya ketinggian pemancar yang dibenarkan adalah 5.1 meter, tetapi di bangunan ini pemancarny­a setinggi 9 meter.

“Macam mana MPK boleh benarkan ia dibina? Malah siapa yang bina, siapa pemilik pemancar juga kami tidak tahu, kerana tiada papan tanda dinaikkan di kawasan pemancar,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Buat aduan

Choon Wuei berkata, pihaknya sudah memanjangk­an isu berkenaan kepada wakil rakyat di kawasan berkenaan serta MPK, namun jawapan diberikan mengecewak­an.

Katanya, MPK memaklumka­n ia mendapat kelulusan pada Mesyuarat Jawatan Kuasa Tetap Pusat Setempat.

“Kelulusan diberi selepas mereka mendapat ulasan daripada Jabatan Teknikal Majlis dan Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Jika benar, kami ingin persoalkan lagi bagaimana ia boleh dibina sedangkan syarat SKMM sama seperti KPKT, iaitu pemancar tidak boleh melebihi separuh ketinggian permukaan tapak bangunan,” katanya.

Penduduk Kampung Melayu Padang Besar, Abd Razak Abd Rahim, 31, berharap MPK mengambil perhatian serius kerana sudah 129 aduan dibuat.

“Jika sebelum ini ada isu mengenai MPK mengambil tindakan terhadap gerai kuih berdasarka­n satu aduan sahaja, harap kes ini MPK ambil perhatian juga kerana membabitka­n ratusan aduan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap MPK ketika dihubungi memaklumka­n MPK sudah mengikut panduan yang ditetapkan pihak berkuasa, dalam meluluskan pembinaan pemancar telekomuni­kasi berkenaan.

 ??  ?? Khoo Choon Wuei
Khoo Choon Wuei

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia