Berita Harian

146 negara sokong Palestin ketuai G77

-

New York: Palestin kelmarin memenangi sokongan mengetuai blok terbesar negara membangun di Pertubuhan Bangsabang­sa Bersatu (PBB) walaupun dibantah Amerika Syarikat (AS), sekali gus menaikkan profil mereka dalam badan dunia itu.

Perhimpuna­n Agung mengundi draf resolusi Mesir untuk memberi Palestin, negara yang diberi status pemerhati di badan dunia itu, hak sementara bertindak sebagai pengerusi Kumpulan 77 (G77) bersama China, blok 134 negara di PBB.

Ketika diundi, draf resolusi Mesir mendapat sokongan 146 negara manakala tiga menentang dan 15 berkecuali. AS, Israel dan Australia adalah tiga negara yang menentang dalam perhimpuna­n 193 negara.

Hak tambahan kepada Palestin

Resolusi itu memberi Palestin, yang mengambil alih tanggungja­wab pengerusi selama setahun bermula Januari depan, hak tambahan seperti kuasa mengemukak­an cadangan bagi pihak G77 dan permohonan ia diletakkan dalam undian.

Langkah itu, bagaimanap­un tidak mengubah status Palestin, dianggap negara pemerhati bukan anggota di PBB tanpa hak mengundi dalam Perhimpuna­n Agung.

Semalam, Israel membedil Gaza selepas serangan roket dari wilayah itu dalam tempoh beberapa minggu, mengenai sebuah bandar Yahudi.

Pemerintah Gaza, Hamas tidak menyokong serangan roket itu kerana menyokong usaha Mesir mengadakan gencatan senjata.

Tetapi, Israel melancarka­n serangan ke atas 20 sasaran di Gaza, membunuh seorang warga Palestin. REUTERS/AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia