Berita Harian

Skuad Hodak melangkah yakin

Kelibat Akhyar, Nik Akif perkuat pasukan gempur Arab Saudi

- Oleh Firdaus Hashim

Kehadiran dua penyerang utama, Akhyar Rashid dan Nik Akif Syahiran Nik Mat dalam skuad muda negara mampu menambah sengat jentera serangan apabila turun pada Kejuaraan B-19 Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) di Indonesia, bermula Sabtu ini.

Akhyar dan Nik Akif yang baru saja selesai tugasan bersama skuad senior dalam dua aksi persahabat­an menentang Sri Lanka, Jumaat lalu dan Kyrgyzstan malam semalam, melaporkan diri beberapa jam sebelum berlepas ke Jakarta pagi semalam.

Malah, sepanjang persiapan sejak awal bulan ini, Akhyar dan Nik Akif tidak dapat bersama pasukan yang menyaksika­n mereka turut terlepas dua perlawanan persahabat­an menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dilangsung secara tertutup di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, serta Stadium Shah Alam.

Skuad negara tewas 0-2 di Paroi sebelum bangkit mengikat UAE 1-1 pada aksi kedua di Shah Alam.

Beri kelebihan barisan depan

Pengendali pasukan, Bojan Hodak, berkata, kualiti dua pemain berbakat itu mampu memberi jawapan kepada kepincanga­n di bahagian depan selain memberi pilihan tambahan buatnya selepas hanya terlalu bergantung kepada Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Zafuan Azeman.

“Sudah tentu apabila dua pemain muda ini dipanggil menyertai latihan dengan pasukan senior menunjukka­n mereka memiliki kualiti terbaik untuk bersama pemain lebih senior.

“Ia memberi kelebihan kepada kami (skuad B-19) terutamany­a untuk memburu gol,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

“Kehadiran mereka setidaktid­aknya dapat memperbaik­i posisi serangan serta memudahkan saya mencatur pemilihan pemain dalam setiap aksi peringkat kumpulan,” kata pengendali dari Croatia itu.

 ??  ?? Hodak (kiri) bergambar dengan SKUAD B-19 Kebangsaan sebelum berlepas ke Jakarta, Indonesia bagi Kejuaraan B-19 AFC 2018 di KLIA semalam.
Hodak (kiri) bergambar dengan SKUAD B-19 Kebangsaan sebelum berlepas ke Jakarta, Indonesia bagi Kejuaraan B-19 AFC 2018 di KLIA semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia