Berita Harian

BUDAK LIMA TAHUN MAUT DIPERCAYAI DIDERA BAPA TIRI

Suspek mengaku pukul mangsa pada hari kejadian

- Oleh Nik Sukry Ramli

“Saya tidak sangka dia tergamak melakukan perbuatan itu (dera) hingga mengakibat­kan kematian anak saudara saya,” kata Mohamad Zazali Abdullah, 23, bapa saudara Muhammad Hafiz Abdullah, 5, yang meninggal dunia dipercayai didera di Kampung Padang Rumbia, dekat Pekan, petang kelmarin.

Dia yang ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini mengakui suspek utama yang juga bapa tiri mangsa adalah seorang yang tidak banyak bercakap namun sangat baik dengan orang kampung terutama jiran mereka.

“Biasanya, kalau dia (suspek) bercakap... boleh kalah ustaz, baik sangat dan saya tidak nampak yang dia boleh melakukan perbuatan seperti ini.

“Sebab itu memang saya tidak sangka benda macam ini boleh berlaku, apatah lagi hingga mengakibat­kan kematian,” katanya yang bekerja sebagai kontraktor binaan dan kini menetap di FELDA Chini, dekat Pekan.

Mohamad Zazali berkata, suspek utama sebelum ini bekerja di ladang di Muadzam Shah, Rompin, dan berpindah ke Kampung Batu Balik, selepas berkahwin dengan ibu mangsa lima tahun lalu.

Kesan cucuh api rokok

Katanya, dia dan keluarga mangsa sangat rapat kerana sebelum mereka berkahwin, ibu dan mangsa menetap bersama di kampung itu.

Dalam kejadian petang kelmarin, Muhammad Hafiz disahkan meninggal dunia dipercayai didera dan pemeriksaa­n awal doktor mendapati ada kesan cedera disyaki akibat penderaan iaitu kesan lebam baharu di dada, kesan cucuh api rokok di tapak kaki, bibir pecah, lebam mata kanan serta luka kecil baharu di kening kanan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Padang Rumbia ketika dibawa untuk mendapatka­n rawatan.

Bapa tiri mangsa yang berusia 54 tahun mengaku ada memukul mangsa pada hari kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Othman Nanyan, berkata ibu mangsa yang berusia 25 tahun dan bapa tirinya ditahan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Batu Balik, Muhamed Haekal Muhamed Nasrudin, 23, berkata suspek jarang membawa anaknya keluar dan seorang yang pendiam.

“Dia kurang bergaul dengan kami (penduduk kampung) dan boleh dikatakan agak pendiam. Anak mereka jarang keluar bermain dengan budak-budak lain di kampung ini.

“Kami hanya mengetahui mengenai kejadian (dera) melalui Whatsapp malam tadi dan tidak menyangka dia sanggup melakukan perkara itu,” katanya.

Jenazah Muhammad Hafiz dituntut keluarga selepas bedah siasat di HTAA dan dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Batu, Nenasi, Pekan semalam.

 ??  ??
 ?? [FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG/BH] ?? Jenazah Muhammad Hafiz (gambar kecil) dituntut keluarga terdekat selepas selesai bedah siasat di HTAA, Kuantan, semalam.
[FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG/BH] Jenazah Muhammad Hafiz (gambar kecil) dituntut keluarga terdekat selepas selesai bedah siasat di HTAA, Kuantan, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia