Berita Harian

Malaysia yakin rundingan beri hasil positif

-

Kuala Lumpur: Malaysia yakin rundingan Perjanjian Air 1962 dengan Singapura akan membuahkan hasil yang positif walaupun menyedari ia akan mengambil masa agak lama untuk dimuktamad­kan.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata Malaysia amat berbesar hati dengan kesudian negara seberang tambak itu untuk berunding mengenai perjanjian itu walaupun sebelum ini mengelak untuk ke meja rundingan.

“Dalam soal Perjanjian Air 1962, ia mungkin mengambil masa sebab baru sekarang kedua-dua negara dapat berunding.

“Saya lihat ini sebagai satu langkah ke hadapan. Sebelum ini, Malaysia hendak berunding, tetapi Singapura kata tidak perlu.

Babit isu teknikal

“Rundingan ini mengambil masa kerana ia membabitka­n isu teknikal seperti penentuan berapa harga untuk dibeli dan berapa akan dijual. Ia akan mengambil sedikit masa sebab rumit,” katanya kepada media selepas merasmikan Sekolah Antarabang­sa Kuala Lumpur (ISKL) Kampus Ampang Hilir di sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar; Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah ISKL, Kelly O’ Hale.

Kementeria­n Luar Singapura semalam melaporkan perbincang­an Perjanjian Air 1962 antara Singapura dan Malaysia dibayangi isu maritim dan ruang udara khususnya Had Pelabuhan Johor Bahru dan prosedur Sistem Pendaratan Instrumen Seletar (ILS).

Singapura sebelum ini menolak rundingan semula perjanjian air kerana menganggap ia mencabar kedaulatan­nya sebagai negara yang merdeka namun Malaysia berpendiri­an ia tidak mencabar kedaulatan Singapura kerana ia terkandung dalam syarat perjanjian asal.

Klausa perjanjian asal menyebut ‘bila-bila masa selepas 1986 dan 1987, kedua-dua pihak dibenarkan mengikut perundanga­n menyemak semula harga berkenaan’.

Ketika ini, Singapura hanya membayar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah dari Johor, sedangkan Melaka membeli air dari Johor pada kadar 30 sen untuk 1,000 gelen.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia