Berita Harian

Orang Asli rayu selesai isu tanah adat

Lebih 500 menumpang diami tanah Hutan Simpan Sungai Lalang

- Oleh Ahmad Suhael Adnan ahmad.suhael@bh.com.my

Penduduk Kampung Orang Asli Sungai Lalang Baru, dekat sini merayu mana-mana wakil rakyat yang menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, menyelesai­kan isu tanah adat milik mereka.

Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Lalang Baru, Aleh Abdullah, berkata isu tanah adat yang sudah diperjuang­kan sejak 35 tahun lalu, bermula ketika mereka terpaksa berpindah dari kawasan asal berhampira­n Empangan Semenyih pada tahun 1984.

Katanya, ketika ini penempatan yang didiami lebih 500 Orang Asli itu, hanya menumpang di atas tanah Hutan Simpan Sungai Lalang, menyebabka­n mereka tidak dapat mengamalka­n cara hidup seperti memungut hasil hutan dan berkebun.

“Kami terpaksa berpindah dan menumpang di atas tanah hutan simpan ini ketika Empangan Semenyih nak dibina dan hingga sekarang, tanah adat kami yang berkeluasa­n kira-kira 130 hektar tidak diganti hingga hari ini.

“Masalahnya, kami tak boleh nak berkebun, pungut hasil hutan dan tebang pokok dengan bebas di sini, sedangkan itu cara hidup kami. Pernah ada pegawai Jabatan Perhutanan yang marah kami kerana tebang dahan pokok sewaktu mencari madu kelulut.

“Saya harap wakil rakyat dapat perjuangka­n supaya kampung ini diwartakan sebagai tanah adat Orang Asli supaya kami dapat amalkan kehidupan kami dengan tenang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, baru-baru ini.

Masalah keperluan asas

Aleh, 53, berkata masyarakat Orang Asli di kampung itu yang kebanyakan­nya terdiri daripada suku Temuan, turut berdepan masalah keperluan asas seperti tiada bekalan air bersih dan elektrik.

“Di kampung ini, kebanyakan rumah tiada bekalan air bersih. Kami terpaksa pasang saluran paip sendiri untuk tarik air Sungai Tekala ke rumah untuk minum, mandi dan sebagainya.

“Bagaimanap­un, Jabatan Perhutanan juga banyak kali tegur kami dan minta kelulusan guna air Sungai Tekala. Mereka juga minta kami tulis nama untuk siapa yang guna air sungai itu. Kami cuma guna untuk minum,” katanya.

Aleh yang sudah lebih 20 tahun menjadi Tok Batin berkata, sekurang-kurangnya 13 rumah Orang Asli di kampungnya tiada bekalan elektrik, selain ada rumah yang terpaksa didiami dua hingga tiga keluarga kerana tiada wang untuk bina rumah baharu.

Malah, katanya, jalan di kampung itu juga banyak yang sudah pecah dan berlubang-lubang kerana kali terakhir diturap sekitar empat tahun lalu, antaranya adalah jalan menuju ke rumahnya yang sudah rosak teruk.

“Saya harap wakil rakyat dapat selesaikan masalah kami. Jengukjeng­uklah kami selalu, jangan hanya datang waktu pilihan raya sahaja,” katanya.

Isu tanah adat yang sudah diperjuang­kan sejak 35 tahun lalu” Aleh Abdullah, Tok Batin

 ?? [FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN/BH] ?? Antara rumah penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Lalang Baru.
[FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN/BH] Antara rumah penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Lalang Baru.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia