Berita Harian

PAS bebas untuk ‘bermadu’

-

Hulu Langat: PAS bebas untuk ‘bermadu’ dengan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan ia tidak akan menjejaska­n hubungan dengan Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden UMNO yang menjalanka­n tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia kerana BN tidak boleh mengawal PAS di luar kerangka kerjasama antara kedua-dua parti itu.

Katanya, perjanjian kerjasama PAS dan BN ketika ini hanya tertakluk kepada sokongan antara satu sama lain dalam manamana pilihan raya di negara ini.

“Soal lain daripada pilihan raya, itu terserah kepada PAS. Takkan kita nak kawal.

Sokong dalam setiap pilihan raya

“Perjanjian antara kita adalah untuk setiap pilihan raya, PAS akan sokong BN dan begitu juga jika PAS yang bertanding, kita beri laluan dan sokong mereka,” katanya ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kantan Permai dekat sini, malam kelmarin.

Sebelum ini, Dr Mahathir mendedahka­n pemimpin PAS membuat pengakuan bertulis kepadanya bahawa parti Islam itu tidak akan menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang bertanding menentang BN dan bukan DAP, namun PAS kemudian mengesahka­n kerjasama diteruskan tetapi tahapnya tidak sama seperti di PRK Parlimen Cameron Highlands.

Terdahulu, Ismail hadir mesyuarat bersama jentera PAS selama sejam bermula jam 9.30 malam, yang turut dihadiri Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan; Pesuruhjay­a PAS Selangor, Sallehen Mukhyi dan semua Yang Dipertua PAS di Selangor.

Ismail berkata, mesyuarat itu menyaksika­n PAS sedang menyusun gerak kerja kempen serta peranan Yang Dipertua PAS Selangor untuk menggemble­ng jentera parti itu untuk membantu kempen calon BN, Zakaria Hanafi pada PRK DUN Semenyih.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia