Berita Harian

Liputan siaran langsung RTM patuhi SOP: Gobind

Badan penyiaran hanya siar ucapan PM pada majlis rasmi

- Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Kementeria­n Komunikasi dan Multimedia menjelaska­n liputan siaran langsung Radio Televisyen Malaysia (RTM) ketika sambutan Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan di Seremban, Negeri Sembilan pada Ahad lalu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menterinya, Gobind Singh Deo, berkata SOP RTM menyatakan dengan jelas bahawa apabila Perdana Menteri menghadiri sebuah majlis rasmi, hanya ucapannya akan disiarkan secara langsung melalui RTM.

Justeru, katanya, RTM tidak boleh dipersalah­kan kerana tidak menyiarkan ucapan seorang menteri dan Menteri Besar Negeri Sembilan pada majlis terbabit, memandangk­an Perdana Menteri turut hadir serta berucap pada majlis itu.

“Walaupun wujud SOP ini, masih ada ruang bagi pihak penganjur berbincang dengan RTM bagi membuat perubahan kepada perkara yang perlu disiarkan secara langsung pada sesuatu acara.

“Ini termasuk memberikan liputan secara langsung bagi individu lain, lebih daripada apa yang tertera dalam SOP, berdasarka­n nilai berita bagi sesebuah acara itu.

Tiada permintaan dibuat

“Malangnya, dalam kes ini, tiada permintaan begitu dibuat,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Tambah beliau, mengikut SOP, RTM dilihat tepat dalam isu ini dan hanya menyiarkan ucapan Perdana Menteri secara langsung pada majlis itu.

Gobind berkata, beliau dimaklumka­n acara siaran langsung itu dilakukan dengan persetujua­n pihak penganjur, iaitu Kementeria­n Pelanconga­n, Kesenian dan Kebudayaan.

“Saya juga tidak teragak-agak menegur sesiapa pun, dengan niat untuk memperbaik­i perkhidmat­an kami di RTM.

“Namun, dalam hal ini, RTM tidak melakukan kesalahan, sebaliknya bertepatan dengan yang sudah diatur dengan pihak penganjur dan SOP yang terpakai untuk majlis sedemikian,” katanya.

Galak kritikan membina

Tambah beliau, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengalu-alukan kritikan membina, malah hak mengkritik dan mendapatka­n penjelasan daripada kerajaan yang memerintah adalah hak semua rakyat.

Sebelum ini, Setiausaha Akhbar Menteri Pengangkut­an, Lim Swee Kuan, mendakwa RTM cuba mensabotaj kerajaan susulan stesen TV itu tidak menyiarkan ucapan Anthony Loke, yang juga Ahli Parlimen Seremban dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, ketika sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan di Seremban.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia