Berita Harian

Peguam UMNO didakwa ubah wang haram RM15J

Hafarizam tak mengaku salah masuk cek dalam akaun firma guaman sendiri

- Oleh Farah Marshita Abdul Patah

Penasihat undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas dua tuduhan membabitka­n diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memasukkan cek berjumlah RM15 juta milik bekas Perdana Menteri ke dalam akaun firma guaman miliknya.

Mohd Hafarizam, 47, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicaraka­n sebaik pertuduhan terhadapny­a dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Pada prosiding yang bermula jam 9.50 pagi itu, Mohammad Hafarizam yang memakai sut hitam dan kemeja putih hitam kelihatan tenang sepanjang prosiding.

Berdasarka­n kertas pertuduhan, Mohd Hafarizam didakwa membabitka­n diri secara langsung dalam dua transaksi hasil aktiviti haram dengan memasukkan dua keping cek Amislamic Bank Berhad berjumlah RM11.5 juta milik Mohd Najib Razak ke dalam client account firma guaman miliknya, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) di CIMB Bank Berhad.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank cawangan PWTC, Suite 1, Level 5, Menara Datuk Onn, Jalan Tun Ismail, di sini, antara 16 April dan 4 November 2014.

Mohd Hafarizam turut didakwa membabitka­n diri secara langsung dalam transaksi hasil aktiviti haram dengan memasukkan sekeping cek Amislamic Bank Berhad berjumlah RM3.5 juta milik Najib ke dalam client account firma miliknya, di tempat sama, pada 12 Februari 2015.

Pendakwaan terhadapny­a dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Tawar jaminan 500,000

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, menawarkan jaminan 500,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Datuk Hasna Rezua Marican yang mewakili Mohammad Hafarizam tidak membantah jaminan yang ditawarkan.

Sementara itu pada prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Akram Gharib memaklumka­n mahkamah terdapat seorang lagi individu dengan nama Paul Geoffrey Stadlen yang sudah didaftarka­n pertuduhan dan dikeluarka­n waran tangkap terhadapny­a, kelmarin.

“Sekiranya beliau berjaya dibawa ke mahkamah, kes ini akan dipohon untuk dibicaraka­n bersama dengan individu berkenaan.

“Langkah untuk mengesan beliau sudah dijalankan dengan mendaftark­an kes, mengeluark­an waran tangkap dan menyerahka­nnya kepada Polis Antarabang­sa (INTERPOL),” katanya.

Sehubungan itu, Hakim Azman membenarka­n tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 25 Mac ini untuk sebutan semula kes.

 ?? [FOTO BERNAMA] ?? Mohd Hafarizam (tengah) tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.
[FOTO BERNAMA] Mohd Hafarizam (tengah) tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia