Berita Harian

ERC kaji dana kerajaan biayai parti politik

-

Putrajaya: Jawatankua­sa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) sedang mengkaji cadangan supaya kerajaan memberi bantuan kewangan kepada parti politik seperti yang dilaksanak­an di kebanyakan negara maju.

Pengerusin­ya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata cadangan itu adalah satu daripada 16 komponen kajian penambahba­ikan pilihan raya yang sedang dilihat secara serius oleh ERC dan jawatankua­sa itu akan menyediaka­n formula terbaik bagi memastikan bantuan yang disalurkan adalah adil dan saksama tanpa mengira parti.

“Ini akan dikawal oleh badan yang kita akan tentukan dapat mengawal (pembiayaan politik),” katanya selepas sesi mendapatka­n maklum balas pemegang taruh bagi penambahba­ikan sistem pilihan raya, di sini, semalam.

Tidak aktif kerana masalah kewangan

Abdul Rashid berkata, ketika ini, ada kirakira 50 parti politik berdaftar di negara ini, namun hanya 10 parti yang aktif, manakala selebihnya tidak dapat meneruskan aktiviti kerana dihimpit masalah kewangan.

“Bila mereka hantar semula laporan mesyuarat tahunan (kepada Jabatan Pendaftara­n Pertubuhan), hidup semulalah dia. Tetapi tidak boleh berfungsi kerana tiada wang.

“Kita mahu tentukan bahawa kerajaan akan membantu parti politik dari segi menampung sedikit sebanyak keperluan kewangan kerana dalam demokrasi lebih banyak parti politik lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rashid turut mengakui standard pilihan raya Malaysia masih belum meyakinkan dengan hanya sebahagian daripada semua 15 komponen penting dalam sistem pilihan raya di negara demokrasi maju, termaktub dalam undangunda­ng.

Sebagai contoh, katanya ketika ini tiada undang-undang khusus mengenai kawalan media semasa pilihan raya seperti yang wujud di negara maju.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia