Berita Harian

171,858 pembayar cukai serah diri

Program pengakuan sukarela LHDN tingkat kesedaran rakyat

- Oleh Fahmy A Rosli

Seramai 171,858 pembayar cukai ‘menyerah diri’ kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS), setakat 14 Februari lalu.

Data itu diperoleh sejak program itu dilaksanak­an pada awal November lalu dan bakal berakhir 30 Jun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah, berkata pembayar cukai yang tampil terdiri daripada pelbagai kategori antaranya pemilik syarikat dan individu.

“Bagi mereka yang belum datang, kami akan terima penerangan mereka dengan suci hati tanpa pemeriksaa­n.

“Biarpun program bermula pada November tahun lalu, memang agak senyap. Namun, jumlahnya (pembayar cukai) mula menunjukka­n peningkata­n pada Januari.

“Biasalah, rakyat Malaysia suka tunggu dan lihat. Mereka mahu lihat ramai atau tak ambil bahagian. Apa pun, saya jangka pada Mac ini, jumlah akan meningkat,” katanya ketika ditemui di Kolokium Pengarah LHDN Bersama Media, semalam.

PKPS adalah program bertujuan menggalakk­an pembayar cukai tampil mengisytih­ar pendapatan secara sukarela di pejabat LHDN seluruh negara bermula 3 November 2018 hingga 30 Jun 2019.

Mengulas individu yang mempunyai akaun di luar negara, Sabin berkata, LHDN menerima maklumat kewangan rakyat Malaysia melalui kerjasama dengan 108 negara.

Beliau berkata penyaluran maklumat itu berlaku setiap tahun dan ia selaras perjanjian ditandatan­gani Malaysia dengan negara berkenaan.

Penyaluran maklumat

“Bermula September tahun lalu, LHDN mula menerima maklumat kewangan rakyat Malaysia yang mempunyai akaun di luar negara.

“Penyaluran maklumat ini selaras perjanjian yang ditandatan­gani oleh negara kita melalui MCAA (Perjanjian Multilater­al Pihak Berkuasa Berwibawa) ditandatan­gani lebih 108 negara antaranya Singapura, India termasuk negara di benua Eropah.

“Perjanjian itu membolehka­n negara berkenaan bertukar maklumat dengan institusi kewangan misalnya di Singapura. Selepas itu, mereka akan salurkan maklumat kewangan rakyat Malaysia kepada pentadbir cukai di Singapura dan seterusnya disalurkan kepada LHDN,” katanya.

Bagi mereka yang belum datang, kami akan terima penerangan mereka dengan suci hati tanpa pemeriksaa­n” Sabin Samitah, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia