Berita Harian

‘Percepat lulus RUU kesalahan intai’

WIN gesa tindakan pantas elak perbuatan undang jenayah lebih serius

- Oleh Hidayah Mohammad

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita menggesa kerajaan menyegerak­an proses kelulusan rang undang-undang (RUU) berkaitan kesalahan mengintai dan menghendap bagi mencapai status negara selamat daripada perbuatan jenayah.

Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara Malaysia (WIN), Norhimah Aziz, berkata RUU wajar diwujudkan lebih awal sebagai tindakan pantas terhadap penjenayah bagi mengelak kesalahan lebih serius seperti gangguan seksual, merogol, culik dan membunuh.

Katanya, kelakuan terbabit perlu dihentikan segera bagi memastikan negara mencapai status status negara selamat diduduki dengan kadar jenayah terus menurun.

Perbuatan itu suatu ketika dulu dilihat sekadar kesalahan kecil seperti mengintai orang, terutama anak dara mandi atau menghendap pasangan bermadu kasih, namun ia tidak tertakluk di bawah RUU tertentu.

Memandangk­an penggunaan telefon pintar seiring dengan kemudahan jalur lebar yang begitu luas, perbuatan itu perlu dilihat sebagai kesalahan serius dan diletakkan di bawah undang-undang khusus.

“Penyebaran video atau gambar yang diambil hasil perbuatan menghendap itu mudah tersebar dengan pantas hingga boleh mendatangk­an impak besar kepada mangsa.

“Pasti lebih buruk perbuatan itu nyata menjadikan wanita dan kanak-kanak perempuan sebagai sasaran serta mangsa perbuatan merogol, gangguan seksual, culik dan bunuh.

“Justeru, WIN melihat sekiranya RUU diluluskan, ia mampu me- ngurangkan statistik jenayah berat, malah tidak mustahil jumlah kes akan menurun dari semasa ke semasa.

“Ini sekali gus menjadikan negara ini selamat diduduki dan dikunjungi pelancong,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong yang menyatakan RUU mengenai perbuatan mengintai dan menghendap bakal menjadi satu kesalahan.

Dokumen penting mengenainy­a akan dibawa ke Jabatan Peguam Negara untuk semakan sebelum dibentang kepada Jemaah Menteri di Parlimen, pada Julai ini untuk persetujua­n dan kelulusan.

Norhimah berkata, perbincang­an meja bulat disertai mangsa, NGO dan orang awam seharus diambil kira supaya cadangan RUU tidak hanya sekadar seperti melepaskan batok di tangga sebaliknya perlu terus diperjuang­kan demi memberi keadilan kepada mangsa.

Membuka aib

Setiausaha Pertubuhan Wanita Bumiputra Kuala Lumpur dan Selangor (PERNITA), Kartini Zulkifli, berkata RUU wajar dilaksanak­an segera kerana perbuatan tidak bermoral itu boleh memberi impak terhadap martabat agama dan bangsa.

Katanya, perbuatan itu bukan sahaja berbahaya, malah membuka aib, mengancam keselamata­n dan mengganggu ruang peribadi individu.

Lebih buruk lagi perbuatan menghendap dan mengintai boleh memalukan dan menjatuhka­n maruah seseorang.

“Menerusi pelaksanaa­n RUU itu, ia sekali gus dapat menyelamat­kan maruah mereka daripada ditindas dan memberi jaminan kepada masyarakat untuk membela nasib sekiranya berlakunya kejadian berkenaan pada diri mereka,” katanya.

Mangsa perlu dapat pembelaan

Beliau bagaimanap­un berkata, sekiranya ada rakaman video aktiviti tidak bermoral menerusi perbuatan menghendap, ia boleh dijadikan bahan bukti ketika dibicaraka­n di mahkamah. Bagi mangsa pula, ia seharusnya mendapat pembelaan.

“Namun, jika RUU itu tidak dilaksanak­an, maruah mangsa wanita ini akan tercemar kerana aib dilihat mereka yang tidak dikenali.

“Ia boleh mengundang malu, malah boleh menjejaska­n keselamata­n, kualiti hidup mangsa dan keluarga apabila penjenayah berniat serta mengancam untuk menyebarka­n aib mereka secara terbuka,” katanya.

Beliau berkata, antara kesan lain ialah boleh menyebabka­n masyarakat memandang serong kepada mangsa hendap.

 ??  ?? Norhimah Aziz
Norhimah Aziz

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia