Berita Harian

Guardiola gesa jadikan iktibar

-

Gelsenkirc­hen: Pep Guardiola menegaskan Manchester City tidak akan mampu merebut gelaran Liga Juara-juara musim ini melainkan mereka belajar daripada kemenangan dramatik 3-2 ke atas Schalke dengan bermain 10 orang kelmarin.

“Kami tidak akan pergi jauh dalam kejohanan ini melainkan kami perlu meningkat,” kata pengurus City itu.

“Pada penghujung­nya, kualiti dimiliki (Leroy) Sane dan (Raheem) Sterling memberikan perbezaan.

“Keputusan itu amat bagus, tapi kami memberikan dua penalti dan kad merah, jadi kami belum bersedia bertarung untuk Liga Juara-juara.”

Tak bermula baik

City berada dalam bahaya apabila ketinggala­n 1-2 ketika berbaki 22 minit apabila Nicolas Otamendi dibuang padang sebelum jaringan Leroy Sane dan Raheem Sterling dalam lima minit terakhir menukar kelebihan dalam saingan 16 pasukan terakhir itu.

Sane, yang masuk pada baki 12 minit, meledak sepakan percuma menakjubka­n untuk menyamakan kedudukan dan gembira menjaringk­an gol berdepan kelab lamanya selepas menyertai City dari Schalke pada 2016.

“Saya mahu menyepak dari posisi itu kerana saya sudah melakukann­ya dari situ dan jaringan itu memberikan kami keyakinan, seterusnya membawa kemenangan buat kami,” kata pemain antarabang­sa Jerman itu.

“Kami tidak bermula dengan baik, tapi gembira kami menang dan mendapat tiga gol di tempat lawan adalah bagus.”

City masih perlu bekerja keras pada perlawanan timbal balik 13 Mac depan dengan Fernandinh­o dan Otamendi masing-masing digantung perlawanan. AFP

 ??  ?? Pep Guardiola
Pep Guardiola

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia