Berita Harian

TCFC mahu ganti Singa Utara

- Oleh Malik Muhammad

Kuala Terengganu: Bekas pemain Terengganu City FC (TCFC), Shafuan Adli Shaari merayu belas ihsan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberikan ‘talian hayat’ kedua kepada skuadnya untuk menyertai saingan Liga Perdana musim ini.

Shafuan yang mewakili rakan sepasukann­ya berkata, dia sudah berbincang dengan pihak pengurusan baharu skuad The Sharks itu sebaik mengetahui pasukan Perlis digugurkan daripada beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini berkuatkua­sa serta merta, kelmarin.

“Hasil perbincang­an itu, kami sebulat suara bersetuju untuk menyertai Liga Perdana musim ini bagi menggantik­an skuad Singa Utara jika MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia menerima kami.

“Kami dan pihak pengurusan TCFC serius dalam hal ini dan bukannya bercakap kosong, kami pun sudah ada sebahagian pemain, lagipun tempoh lanjutan buat pemain Perlis sudah dilanjutka­n 30 hari lagi.

Tunggakan RM900,000

“Malah, kami bersedia bertemu dengan pihak MFL dan FAM bagi perbincang­an lebih lanjut berhubung perkara itu demi kelangsung­an hidup dan sumber pendapatan kami sebagai pemain,” ujar Shafuan.

Pada 19 November 2018, juara Piala FAM musim lalu itu terpaksa berputih mata untuk beraksi dalam kancah Liga Perdana musim ini selepas ‘diharamkan’ oleh MFL walaupun mendapat tiket automatik susulan kedegilan pasukan itu melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawainya.

Bagaimanap­un bulan lalu, pengurusan baharu skuad TCFC berjanji sedia menjelaska­n semua tunggakan gaji pemain dan jurulatih pasukan itu berjumlah lebih RM900,000 tetapi dengan syarat FAM dan MFL membenarka­n pasukan itu beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Namun, permintaan itu tidak dilayan FAM dan MFL sekali gus bukan saja menyebabka­n pemain ‘gigit jari’ tidak dapat beraksi dalam saingan liga divisyen dua itu malah sehingga kini masih belum menerima tunggakan gaji mereka.

TCFC meraih kejuaraan Piala FAM selepas menundukka­n Selangor United 2-0 pada final di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras September lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia