Berita Harian

Keputusan belum muktamad

MFL beri tempoh 7 hari untuk PFA kemuka rayuan

- Oleh Zulfaizan Mansor

Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) mendapat ‘talian hayat’ selama tujuh hari untuk membuat rayuan berhubung tindakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membatalka­n penyertaan­nya berkuatkua­sa kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menjelaska­n tempoh rayuan itu adalah prosedur biasa sebelum sebarang keputusan dibuat.

Bagaimanap­un, melihat kepada kenyataan Kevin itu, ia membayangk­an hanya peluang tipis dimiliki PFA untuk meyakinkan kembali Lembaga Pengarah MFL membuat pusingan U dan menarik balik hukuman ke atas Perlis.

“Kami memberikan tempoh tujuh hari kepada PFA walaupun kebiasaann­ya adalah 14 hari tempoh rayuan bagi urusan pentadbira­n tetapi memandangk­an ia satu kes serius, kami memberikan tujuh hari sahaja.

“Wakil PFA datang hari ini untuk lebih memahami apa yang dipertimba­ngkan dalam keputusan itu dan saya membuat penerangan yang mana mereka akan mengadakan mesyuarat bersama Exco PFA bagi mendapatka­n tindakan susulan selepas mendapat penjelasan ini daripada MFL.

Masalah kewangan serius

“Buat masa ini, MFL berharap apa-apa perancanga­n mereka di masa depan akan berjaya dan pemain akan mendapat pasukan baharu selepas MFL turut membuka ruang untuk mereka mendaftar bagi tempoh 30 hari,” katanya.

Lembaga Pengarah MFL menyingkir­kan Perlis kerana masalah kewangan serius dihadapi skuad itu terutama selepas berdepan isu tunggakan gaji.

Susulan penyingkir­an Perlis, bekas pemain Terengganu City FC (TCFC), Shafuan Adli Shaari merayu belas ihsan MFL untuk memberikan ‘talian hayat’ kedua kepada skuad itu menyertai saingan Liga Perdana musim ini sebagai menggantik­an tempat Singa Utara.

Menjawab permintaan itu, Kevin memberi bayangan tiada pasukan yang akan digantikan Perlis sama seperti ketika Kuantan FA yang disingkirk­an daripada Liga Perdana pada musim lalu.

“Jika mana-mana pasukan yang dikeluarka­n, menurut keputusan yang sudah dibuat tahun lalu, kita tidak menggantik­an (Kuantan FA). Kalau kita cuba menggantik­an Perlis, bagaimana jika masalah sama berlaku ke atas pasukan pengganti itu.

“Apa yang saya nampak keputusan dibuat tahun lalu di mana Liga Perdana diteruskan dengan 11 pasukan dan tiada pasukan yang digantikan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia