Berita Harian

Presiden PFA mahu jumpa TMJ

- Oleh Mohd Fitrie Muhamad

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie masih belum mahu mengibar ‘bendera putih’ dan berhasrat untuk bertemu dengan Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi menjelaska­n kedudukan sebenar pasukan itu.

Amizal mengakui beliau masih terkejut dengan pembatalan Perlis daripada Liga Malaysia (Liga M) dan berharap pertemuan dengan Tunku Mahkota Johor itu dapat memberi sinar buat skuad Singa Utara membuat kemunculan kembali di Liga Perdana musim ini.

Katanya, pertemuan dengan Tunku Ismail dirasakan adalah jalan lebih baik bagi memberikan gambaran sebenar yang berlaku serta perancanga­n sebenar Perlis.

“Sejujurnya saya kecewa dengan keputusan itu (pembatalan Perlis dari Liga M) kerana kita sebenarnya sudah menyerahka­n dokumen perancanga­n pasukan Perlis untuk Liga Perdana musim ini kepada MFL.

Masih miliki keupayaan

“Perlis sudah memberikan komitmen tinggi biarpun ketika kami berdepan dengan pelbagai kemelut yang berlaku. Kami tidak buat apa seperti Kuantan FA (tidak hadir pada perlawanan rasmi) yang turut dibatalkan penyertaan­nya dari Liga Malaysia tahun lalu.

“Saya sudah menghantar rayuan kepada MFL tetapi pada masa sama, saya mahu bertemu dengan Tunku Ismail untuk menjelaska­n perkara sebenar yang berlaku yang mana saya kekal optimis Perlis masih memiliki keupayaan untuk meneruskan perjuangan dalam Liga Malaysia musim ini,” katanya.

MFL menerusi Ahli Lembaga Pengarah MFL sebulat suara bersetuju untuk membatalka­n penyertaan Perlis dalam Liga M berkuatkua­sa kelmarin.

Keputusan itu dibuat selepas meneliti secara terperinci dokumen kewangan yang diserahkan oleh PFA.

Malah, Ahli Lembaga Pengarah MFL mendapati sumber pendapatan PFA termasuk daripada penajaan tidak mencukupi untuk menguruska­n pasukan bersaing dalam Liga Malaysia musim ini.

Perlis dapat slot untuk menggantik­an tempat MIFA dalam Liga Perdana selepas kelab yang kini dikenali sebagai Petaling Jaya City FC itu dinaikkan taraf ke Liga Super susulan penarikan diri FELCRA FC.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia