Berita Harian

Senjata api tiruan dirampas

-

Kota Kinabalu: Ratusan senjata api dan komponen tiruan dirampas dalam serbuan di sebuah premis di kompleks belibelah terkemuka di bandar raya ini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 3.30 petang itu, premis yang turut menjual alat permainan kanak-kanak itu, didapati aktif menjual peralatan senjata api berkenaan secara terbuka sejak kira-kira empat bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata serbuan dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Cawangan Pelesenan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Katanya, hasil serbuan mendapati premis berkenaan menjual pelbagai jenis senjata api tiruan dan komponen tanpa kelulusan pihak berkuasa.

“Hasil siasatan, polis mendapati premis berkenaan turut menempatka­n sebahagian daripada senjata api dan komponen tiruan itu di sebuah stor di tingkat 2 bangunan berkenaan.

“Dalam serbuan ini, polis merampas sebanyak 151 senjata api dan 283 komponen senjata api tiruan. Nilai rampasan senjata api tiruan ini dianggarka­n lebih RM 60,000,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Habibi berkata, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

“Polis masih menjalanka­n siasatan bagi mengenalpa­sti pembekal senjata api tiruan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia