Berita Harian

BERSATU dijangka bertapak akhir Mac

-

Bangi: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dijangka bertapak secara rasmi di Sabah selewat-lewatnya akhir bulan depan.

Penyelaras BERSATU Sabah, Datuk Mohd Rafiq Naizamohid­een yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti berkata, ketika ini parti itu sedang giat menambah keahlian yang kini lebih 100,000 orang.

Katanya, kesediaan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Ketua Menteri Sabah, menerima parti itu memudahkan lagi BERSATU bertapak di Negeri di Bawah Bayu.

Beliau berkata, jika tiada aral melintang, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyempurn­akan pelancaran parti itu di Sabah.

“Permohonan keahlian meliputi Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Dewan Negara (Senator), bekas wakil rakyat, Ketua Bahagian UMNO, ahli UMNO dan masyarakat pelbagai latar belakang pekerjaan, pendidikan dan ekonomi.

“Pemimpin yang mengetuai parti itu di Sabah juga sedang dikenal pasti dan kita percaya ramai calon berkelayak­an dan berintegri­ti, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Bicara Persada bertajuk ‘Cameron Highlands ke Semenyih: Adakah landskap politik akan berubah’ di Kampus induk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, semalam.

Kukuhkan parti WARISAN

Setakat ini, lima Ahli Parlimen dan lapan ADUN yang keluar UMNO pada akhir tahun lalu menyatakan hasrat menyertai BERSATU, termasuk bekas Pengerusi Badan Perhubunga­n UMNO Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor.

Dalam pada itu, Mohd Rafiq Naizamohid­een yang juga EXCO Perindustr­ian, Perdaganga­n dan Pelaburan Melaka yakin BERSATU akan mengukuhka­n lagi kerajaan Sabah yang diketuai WARISAN.

“Seperti kita sedia maklum WARISAN bersama gabungan PKR dan DAP memerlukan kerusi parti lain untuk membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Kehadiran BERSATU akan mengukuhka­n lagi parti itu dan kita tidak akan bersaing dengan mereka,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia