Berita Harian

REMAJA BERMOTOSIK­AL MAUT TERTUSUK BULUH

Mangsa meninggal di tempat kejadian akibat pendarahan teruk

- Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kegembiraa­n tiga remaja bersiar-siar dengan motosikal, bertukar tragedi apabila seorang daripadany­a maut selepas leher tertusuk buluh dalam kemalangan dekat Kampung Kok Kiok, Bukit Bakar di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Mohd Asri Azman, 17, mati di lokasi kejadian akibat pendarahan teruk di bahagian kanan leher.

Sebelum kejadian, mangsa sedang membonceng motosikal ditunggang sepupunya, Mohd Fitri Rosdi, 18, ketika mereka keluar bersiar-siar di sekitar kampung bersama-sama seorang lagi sepupu yang menunggang berasingan.

Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki dua remaja itu berselisih sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki sambil meletakkan sebatang buluh di bahu, yang datang dari arah bertentang­an.

Mohd Fitri berkata, dia berhasil mengelak daripada terkena buluh yang dibawa lelaki terbabit tetapi tidak menyangka ia terkena bahagian leher kanan sepupunya.

“Saya segera menghentik­an motosikal sejurus menyedari Mohd Asri yang membonceng tertusuk buluh terbabit. Ketika itu, darah mengalir deras dari leher Mohd Asri begitu banyak.

Sempat ajar mengucap

“Dalam keadaan cemas itu, saya sempat mengajar sepupu mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia kemudian meninggal dunia,” katanya yang berada dalam trauma akibat kejadian itu, ketika ditemui di lokasi.

Mohd Fitri berkata, ketika kejadian, dia bersama Mohd Asri bersiar-siar dengan motosikal dari Kampung Bukit Sawa melalui Kampung Kok Kiok untuk ke Bukit Bakar.

“Kami berada di bahagian hadapan, manakala seorang sepupu mengikuti di bahagian belakang. Saya tidak sangka akan kehilangan sepupu yang paling rapat secara mengejut,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Asisten Superinten­dan Mohd Shamsuri Mohd Zain ketika dihubungi mengesahka­n kejadian itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat, sementara kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan kerana menunggang secara cuai hingga menyebabka­n kematian,” katanya.

Saya segera menghentik­an motosikal sejurus menyedari Mohd Asri tertusuk buluh terbabit. Ketika itu, darah mengalir deras dari leher Mohd Asri begitu banyak” Mohd Fitri Rosdi, Sepupu mangsa

 ??  ??
 ?? [FOTO IHSAN PEMBACA] ?? Penduduk kampung membantu anggota polis mengangkat mayat Mohd Asri (gambar kecil) yang maut selepas leher tertusuk buluh dalam kemalangan dekat Kampung Kok Kiok, Bukit Bakar, Machang, pagi semalam.
[FOTO IHSAN PEMBACA] Penduduk kampung membantu anggota polis mengangkat mayat Mohd Asri (gambar kecil) yang maut selepas leher tertusuk buluh dalam kemalangan dekat Kampung Kok Kiok, Bukit Bakar, Machang, pagi semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia