Berita Harian

Cadang kaji semula sukatan pelajaran pendidikan seks

-

Georgetown: Kementeria­n Pendidikan bercadang mengkaji semula sukatan pelajaran pendidikan seks di sekolah, sebagai satu cara memerangi jenayah seksual dalam kalangan pelajar dan kanak-kanak.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata kerajaan serius dalam menangani masalah yang semakin membimbang­kan itu, dan pihaknya juga sudah mengadakan perbincang­an bersama Kementeria­n Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Lembaga Penduduk dan Pembanguna­n Keluarga Negara (LPPKN), serta beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bulan lalu.

Beliau berkata, terdapat keperluan untuk terus mengemas kini sukatan pelajaran pendidikan seks bagi memastikan ia kekal relevan.

“Ketika ini pendidikan seks itu sendiri diajar di sekolah dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK).

Sentiasa kemas kini subjek

“Namun begitu, anak-anak kita hari ini mendapat banyak maklumat dari media sosial, jadi amat penting untuk kita sentiasa kemas kini subjek berkenaan bagi memastikan mereka mengetahui impaknya kepada diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Subramaniy­a Barathee di sini, semalam.

Januari lalu, Kementeria­n Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilaporkan akan berbincang dengan Kementeria­n Pendidikan bagi mewujudkan mata pelajaran pendidikan seks dalam kalangan pelajar.

Timbalan Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, berdasarka­n rekod dan statistik, sebanyak sembilan peratus daripada jumlah keseluruha­n pelajar di kelas peralihan di Sekolah Jenis Kebangsaan seluruh negara dikesan aktif dalam hubungan seks.

Guru usah ambil ringan

Sementara itu, Nie Ching turut mengingatk­an guru supaya tidak mengambil ringan mengenai topik pendidikan seks dengan menggantik­an ia dengan pendidikan lain.

Katanya, pendidikan seks mengajar mengenai sentuhan yang selamat dan tidak selamat, sentuhan yang selesa dan tidak selesa, sebagai satu cara untuk mewujudkan kesedaran kepada pelajar mengenai bahaya jenayah seksual.

“Saya ada terbaca satu artikel pada pagi ini (semalam) bahawa Malaysia menjadi ‘hotspot’ untuk jenayah seksual terhadap anakanak kecil, jadi kita mesti mengajar anakanak kita pada usia muda untuk mengelakka­nnya.

“Saya harap sekolah-sekolah tidak menganggap PJK sebagai subjek yang tidak penting dan menggantik­annya dengan kelas Matematik atau Bahasa Inggeris. Jangan lakukan itu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia