Berita Harian

FAMA tubuh unit khas pemasaran mangga harumanis: Salahuddin

-

Kangar: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutua­n (FAMA) akan menubuhkan unit khas pemasaran mangga harumanis agar buah itu dapat dipasarkan secara lebih meluas di dalam dan luar negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata penubuhan unit itu adalah langkah awal pihaknya sebelum satu agensi khusus diwujudkan bagi mangga harumanis pada masa depan.

Katanya, penubuhan unit khas itu juga sebagai langkah dan jaminan kerajaan dalam membantu menambah baik taraf ekonomi pengusaha mangga harumanis.

Perlu komitmen, patuh kriteria

“Mewujudkan satu agensi khusus untuk mangga harumanis memerlukan komitmen dan pematuhan kriteria yang tinggi. Ia bukan sesuatu yang mudah.

“Tidak mustahil agensi khusus ini ditubuhkan dan atas faktor itu kita wujudkan dahulu unit jualan khas mangga harumanis di FAMA bagi memastikan jualan dan permintaan­nya tidak putus di dalam dan luar negara,” katanya pada sidang media selepas melawat Jabatan Pertanian Perlis di sini, semalam.

Salahuddin berkata, pihaknya kini berusaha memperbaik­i kelemahan buah harumanis pada peringkat penghasila­n termasuk mengawal daripada berlakunya lambakan.

“Sebenarnya bekalan buah dalam negara belum mencukupi berikutan faktor ia bermusim dan cepat rosak menyebabka­n pasaran buah tempatan di luar negara terhad.

“Tahun ini kita jangkakan pengeluara­n mangga harumanis adalah 2,600 tan metrik dan unit khas ini akan memulakan tugas memasarkan buah berkenaan ke seluruh negara,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia