Berita Harian

Serius ‘bersih’ imej badan kehakiman

-

Badan Kehakiman selaku tonggak pentadbira­n keadilan memastikan hak setiap warganegar­a sentiasa terpelihar­a daripada sebarang pencabulan dan ketidakadi­lan. Ia memainkan peranan ‘semak dan imbang’ kepada semua badan lain. Apabila Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, memfailkan afidavit pada 14 Februari lalu mendakwa campur tangan dan salah laku oleh hakim kanan dalam pentadbira­n keadilan, selain bersubahat dengan kerajaan dan pihak swasta untuk menipu wang rakyat, ia jelas mencalar dan mencemar kemuliaan badan itu. Malah, ada pihak secara terbuka mula mempersoal­kan kebebasan dan keadilan badan berkenaan. Ini bukan kali pertama kebebasan badan kehakiman negara dipersoal. Pada 1990-an, sudah ada surat tanpa nama didakwa ditulis seorang hakim membuat dakwaan hampir sama. Pada 2007, Suruhanjay­a Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat klip video mengandung­i perbualan seorang peguam, V K Lingam dengan hakim kanan mengatur pelantikan hakim. Pasti keputusan kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat dakwaan terbaru ini mengambil kira semua pandangan untuk ‘membersihk­an’ imej badan kehakiman daripada terus menjadi bahan polemik, sekali gus memelihara keharmonia­n dan kemuliaan badan itu. Keberanian kerajaan harus dipuji walaupun kesannya amat besar kepada pentadbira­n keadilan, moral hakim dan imej badan itu sendiri. Proses seterusnya iaitu pemilihan anggota RCI, perlu telus, bebas dan membabitka­n pihak berkecuali. Jika bekas hakim kanan atau hakim dalam perkhidmat­an dipilih sebagai anggotanya, pasti ia dilihat sebagai usaha menutup kelemahan sahaja, tidak serius.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia