Berita Harian

‘PAS parti pusing-pusing, tak konsisten’

-

Kangar: Parti Amanah Negara (AMANAH) meminta pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan penyokongn­ya tidak melayan PAS ketika ini yang disifatkan sebagai parti pembohong.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salehuddin Ayub, berkata berdasarka­n rekod PAS kebelakang­an ini, parti itu tidak konsisten dalam mengeluark­an sebarang kenyataan.

Katanya, beliau secara peribadi tidak mempercaya­i setiap kenyataan yang dikeluarka­n oleh setiap pemimpin parti itu.

“Sukar untuk saya percayalah, sebab Tun (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) sendiri pun tak percaya, jadi saya nak sebut, PAS ini parti yang berpusing-pusing.

“Hari ini dia cakap lain, esok lain. Sukar kita nak duga dia cakap macam mana pula. Jadi saya rasa biarlah PAS dengan dunia dia yang tersendiri. Kita pun sibuk dengan tugas kita, kita pun nak menang pilihan raya di Semenyih,” katanya ketika ditemui di Bukit Temiang di sini, semalam.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, berkata PH tidak boleh menyalahka­n PAS jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kalah di Semenyih dengan mendakwa parti itu tidak mendapat bantuan rakan dalam PH.

Mengulas lanjut, Salehuddin menafikan dakwaan parti komponen PH tidak turun bekerja dalam PRK Semenyih.

“Kita (parti komponen) bekerja 24 jam sehari, untuk rakyat. Itu tugas kami sekarang.

PH utamakan rakyat

“Jadi sama ada PAS hendak cakap kita itu ini, biarlah dia dengan dunia dia. Kita ada tugas kita, iaitu utamakan rakyat,” katanya.

Sementara itu, di Marang, Hadi menegaskan PAS tetap akan memberi sokongan kepada Dr Mahathir dalam isu undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

“Kita tetap akan sokong (kepemimpin­an Dr Mahathir) walaupun dalam keadaan kita pembangkan­g. Ini demi kepentinga­n kepimpinan orang Islam. Ini penting,” katanya.

Ketika dipersoal sejauh mana kebenaran dakwaan itu, Abdul Hadi berkata, pihaknya ada maklumat berkaitan rancangan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri itu.

“Kalau tak ada angin, pokok tak bergoyang. Kita ada maklumat sebab itu kita bagi sokongan,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mendedahka­n partinya mengusulka­n akuan bertulis berbentuk contoh ketika pertemuan dengan Dr Mahathir di Yayasan Albukhary, Jumaat lalu.

Akuan itu antara lain menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Dr Mahathir jika berlaku pengkhiana­tan daripada mana-mana parti komponen PH.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia