Berita Harian

DAP Perak anggap tuduhan PAS cuba alih isu 1MDB

-

Ipoh: DAP Perak menyifatka­n tuduhan PAS yang mendakwa DAP menerima dana asing, termasuk dari Israel sebagai cubaan untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu dana 1Malaysia Develoment Berhad (1MDB).

Naib Pengerusi DAP Perak, Abdul Aziz Bari, berkata pelbagai dakwaan dilakukan PAS sebelum ini, antaranya mengatakan DAP adalah cawangan parti Singapura.

Katanya, tindakan Pemuda PAS membuat laporan polis terhadap isu berkenaan jelas sekali untuk mengalih perhatian rakyat selepas media melaporkan UMNO menyalurka­n dana sebanyak RM1.5 juta kepada PAS bagi tujuan kempen pilihan raya.

“Bagi saya, ini (tuduhan DAP terima dana wang asing) adalah rekod lama atau CD (cakera padat) lama yang dimainkan PAS.

“Dulu mereka kata DAP ini cawangan PAP (People’s Action Party) Singapura, hari ini mereka sibuk dengan dakwaan DAP menerima dana asing, yang saya fikir cubaan untuk mengalihka­n perhatian daripada isu 1MDB yang diterima PAS,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam

Alu-alukan siasatan

Abdul Aziz yang juga Pengerusi Jawatankua­sa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, berkata beliau mengalu-alukan siasatan dijalankan susulan beberapa laporan polis dibuat Pemuda PAS yang meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalanka­n siasatan terhadap dakwaan bahawa DAP menerima dana asing.

“DAP tidak ada benda yang hendak disembunyi­kan, oleh kerana itu saya menyeru pihak berkenaan mempercepa­t siasatan yang dilaporkan oleh PAS kerana kita memang telus termasuk akaun parti di peringkat pusat dan negeri,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri akan menyiasat isu tanah seluas 2,428 hektar yang diberikan kerajaan negeri kepada Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar yang didakwa berlaku salah guna kuasa.

Katanya, laporan audit yang diterimany­a dua bulan lalu menunjukka­n terdapat beberapa isu membabitka­n pengurusan terdahulu selain tanah yang dimiliki USAS untuk kegiatan pembalakan, pertanian dan perlombong­an.

“Tanah berkenaan tidak diuruskan dengan cekap, sama ada isu tanah berkenaan tidak mendatangk­an hasil atau hasilnya digunakan untuk kegiatan tertentu akan disiasat menerusi pentadbira­n baharu, yang Naib Canselorny­a yang baharu akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

 ??  ?? Abdul Aziz Bari
Abdul Aziz Bari

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia