Berita Harian

Tidak kurangkan bil elektrik

Suruhanjay­a Tenaga dapati bacaan meter tak tunjuk beza ketara

- Oleh Suhaila Shahrul Annuar suhaila.shahrul@ nstp.com.my

Suruhanjay­a Tenaga menegaskan alat jimat tenaga (Energy Saving Devices - ESD) yang terdapat di pasaran tidak berkesan dalam mengurangk­an bil elektrik pengguna seperti yang diiklankan.

Menurut kenyataan suruhanjay­a itu, semalam, pihaknya dengan beberapa pihak lain mengambil inisiatif mengkaji keberkesan­an ESD, dan mendapati bacaan meter pengguna tidak menunjukka­n perbezaan ketara.

Selain itu, katanya, tiada mana-mana badan bertauliah membuktika­n alat berkenaan memberi kesan penjimatan tenaga elektrik.

“Pengguna mungkin terpengaru­h dengan demonstras­i penjual yang mana mereka menunjukka­n perbanding­an kadar arus elektrik yang menjadi lebih rendah setelah ESD dipasang.

Jumlah kuasa tetap sama

“Ingin diingatkan bahawa apabila ESD dipasang, kadar arus akan berkuranga­n, namun jumlah kuasa yang direkodkan tetap sama mengikut bilangan dan kadar kuasa peralatan elektrik yang digunakan.

“Ini tidak akan memberi perbezaan ketara terhadap kadar penggunaan elektrik yang diukur berdasarka­n kilowatt-jam (kwj) penggunaan, dengan menggunaka­n formula (arus x voltan x faktor kuasa x masa digunakan),” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pemasangan ESD juga tidak memberi penjimatan sehingga 30 peratus ke atas bil elektrik di premis domestik seperti yang didakwa kerana meter elektrik merekodkan penggunaan kuasa sebenar (kwh), sedangkan penggunaan ESD yang mana komponen utamanya adalah kapasitor hanya memberi kesan kepada penggunaan kuasa reaktif (kvar).

“Malahan, dalam keadaan beban pengguna yang rendah atau peralatan dimatikan, penggunaan ESD masih membolehka­n meter merekodkan penggunaan elektrik.

Usah terpengaru­h

“Penggunaan kapasitor lebih memberi manfaat kepada pepasangan elektrik di sektor industri yang banyak menggunaka­n beban induktif kerana ia dapat menambahba­ik kadar kuasa sistem dengan bekalan pengguna dan seterusnya mengelakka­n pengguna dikenakan penalti oleh pihak utiliti,” katanya.

Sehubungan itu, Suruhanjay­a Tenaga menasihati orang ramai agar tidak terpengaru­h dengan dakwaan kononnya ESD ini termasuk dalam bentuk kad, boleh mengurangk­an bil elektrik.

Katanya, bagi menjimatka­n penggunaan elektrik, Suruhanjay­a Tenaga menyaranka­n agar membudayak­an amalan cekap tenaga seperti menggunaka­n kelengkapa­n elektrik yang mempunyai label cekap tenaga dan gunakan kelengkapa­n elektrik secara berhemah dan elakkan pembaziran.

Suruhanjay­a Tenaga juga turut menyelar tindakan tidak bertanggun­gjawab segelintir pihak yang menggunaka­n logo suruhanjay­a ini bagi tujuan promosi ESD ini melalui pengiklana­n di media sosial dan jualan terus kepada orang ramai.

“Tindakan boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgu­nakan logo Suruhanjay­a Tenaga. Suruhanjay­a Tenaga juga meminta kerjasama orang ramai melaporkan kepada suruhanjay­a ini berkenaan kegiatan tidak bertanggun­gjawab menyalahgu­nakan logo Suruhanjay­a Tenaga,” katanya.

Untuk maklumat lanjut atau aduan pengguna boleh melayari laman web Suruhanjay­a Tenaga di www.st.gov.my.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia