Berita Harian

Tubuh segera jawatankua­sa tangani masalah kepupusan

-

Kuala Lumpur: Satu jawatankua­sa khas perlu ditubuhkan segera bagi membincang­kan dan merangka strategi menangani isu penggunaan bahasa suku, yang dikatakan semakin pupus.

Walaupun perancanga­n itu mungkin bersifat sementara di peringkat awal, ia cukup penting sebelum melantik satu jawatankua­sa khas kekal yang diwakili semua suku etnik Melayu di Semenanjun­g Malaysia.

Setakat ini, walaupun belum ada gerakan rasmi menjayakan perancanga­n itu, Presiden Pertubuhan Al-banjari Kuala Lumpur-selangor, Zainal Abidin Rahmat sudah pun menyatakan sokongan awal untuk turut terbabit.

Katanya, selain wakil suku, semua pakar bahasa, pengkaji atau ahli akademik berkaitan perlu dirujuk atau dilantik sebagai anggota jawatankua­sa itu.

“Kami sentiasa bersedia. Jangan lupa, ramai juga tokoh dan selebriti tanah air berketurun­an Banjar. Mereka juga boleh dijemput berkongsi idea dan kempen ini lebih mudah dilaksanak­an jika golongan ini membantu,” katanya.

Antara individu yang dirujuk Zainal ialah Menteri Wilayah Persekutua­n, Khalid Abdul Samad; artis, Datuk Jalaluddin Hassan dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Rabu lalu, BH melaporkan lebih 15 bahasa suku berisiko pupus 20 tahun lagi apabila jarang digunakan dalam perbualan harian, dan semakin teruk apabila majoriti generasi muda langsung tidak boleh bertutur bahasa ibunda mereka.

Beri maklumat berguna

Antara bahasa suku yang ada ialah Aceh, Banjar, Betawi, Boyan, Bugis, Jawa, Lombok, Madura, Mandailing, Minang, Palembang, Ranau, Rawa, Riau, Siak, Sunda, Kampar dan Kerinchi.

Seorang pembaca BH, Aimin Firdaus Ahmad Nazri dari Ayer Tawar, Perak juga mengakui pendedahan itu membuka banyak mata mengenai kewujudan bahasa suku dan pihak bertanggun­gjawab perlu bertindak segera.

“Pengetahua­n saya terhadap keturunan saya sendiri, Mandailing amat rendah, bahkan untuk bertutur dalam bahasa Mandailing pun tidak tahu. Cuma sesetengah perkataan sahaja yang saya tahu.

“Pendedahan BH ini banyak memberi maklumat berguna kepada rakyat Malaysia dan sebagai pengetahua­n khas buat golongan muda yang bernama Melayu. Mungkin ramai yang tidak tahu pun wujudnya bahasa suku ini.

“Penggunaan bahasa Mandailing di kawasan saya sangat kurang. Orang dewasa lebih banyak bertutur bahasa Melayu dan menjadi faktor besar semakin lunturnya penggunaan bahasa etnik orang Mandailing,” katanya.

Katanya, bukan sahaja martabat bahasa suku itu perlu dijaga dan ditingkatk­an, tetapi kebudayaan, warisan atau sejarah keturunan mereka juga perlu terus diketengah­kan.

Jangan lupa, ramai juga tokoh dan selebriti tanah air berketurun­an Banjar. Mereka juga boleh dijemput berkongsi idea dan kempen ini lebih mudah dilaksanak­an jika golongan ini membantu” Zainal Abidin Rahmat, Presiden Pertubuhan Al-banjari Kuala Lumpur-selangor

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia